Syarikat, dua pemilik warga Jordan didakwa gagal bayar cukai, penalti lebih RM200,000 - Utusan Malaysia

Syarikat, dua pemilik warga Jordan didakwa gagal bayar cukai, penalti lebih RM200,000

SYARIKAT Zamzam Arabic Food Holding Sdn. Bhd. dan dua pemiliknya tidak mengaku salah lewat kemuka penyata SST-02 dan gagal bayar cukai ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebuah syarikat dan dua pemiliknya yang merupakan warganegara Jordan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas 19 pertuduhan lewat mengemukakan penyata Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST-02) dan gagal membayar cukai perkhidmatan bernilai lebih RM200,000 termasuk penalti.

Syarikat Zamzam Arabic Food Holding Sdn. Bhd. dan Rami Ahmad Mohammad Alsa’bi, 47, serta Mohammad Ahmad Mohammad Alsa’bi, 55, membuat pengakuan terbabit ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan dihadapan Hakim Sazlina Safie.

Mengikut kesemua pertuduhan, syarikat Zamzam Arabic Food Holding Sdn. Bhd. bersama Rami Ahmad dan Mohammad Ahmad bersama-sama sebagai orang kena cukai di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807) didapati lewat mengemukakan penyata SST-02 kepada Ketua Pengarah Kastam seperti yang ditetapkan dibawah Seksyen 26 (6) (a) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807).

Kesemua Orang Kena Saman (OKS) turut didakwa didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26 (7) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807) dan Seksyen 26 (8) akta yang sama kerana didapati gagal membayar cukai perkhidmatan pada masa yang ditetapkan kepada Ketua pengarah Kastam seperti mana ditetapkan di bawah Seksyen 26(4) akta yang sama.

Kesemua kesalahan terbabit didakwa dilakukan di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah, Bandar Indera Mahkota, di sini dalam tempoh antara September 2019 sehingga Ogos 2023 membabitkan nilai cukai antara RM7,791 hingga RM23,899 dengan nilai keseluruhan termasuk penalti RM209,080.34.

Jika disabitkan kesalahan, kesemua OKS boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang, Norhafizah Ahmad Razali manakala tertuduh diwakili peguam, Shahidan Baharom.

Shahidan mewakili anak guamnya akan mengemukakan representasi kepada pihak jabatan bagi menyemak semula kesemua pertuduhan yang kemukakan pihak pendakwaan.

Hakim menetapkan 11 November sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN