Syafik baru pulang ke kampung, mahu jaga ibu sakit - Utusan Malaysia

Syafik baru pulang ke kampung, mahu jaga ibu sakit

NURSHARINA Mohd. Zen menunjukkan gambar kenangan majlis persandingan dengan suaminya dua tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Tukang kebun yang maut diserang gajah liar di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Felda Tenggaroh 5, di sini hari ini baru beberapa bulan pulang ke kampung untuk menjaga ibunya yang uzur.

Isterinya, Nursharina Mohd. Zen, 28, berkata, suaminya, Mohamad Syafik Yakob, 31, sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan di Gelang Patah dan mereka mengambil keputusan pulang ke Felda itu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

“Kami pindah di sini sebab emak sakit, suami mahu jaga emaknya yang alami strok. Selepas balik kampung, lama juga dia mencari kerja dan di sekolah itu dia baru sahaja bekerja kira-kira tiga bulan,” katanya ketika ditemui di kediaman mentuanya di Felda Tenggaroh Timur 1, dekat sini hari ini.

Ibu kepada seorang anak itu mengakui kelakuan suaminya agak pelik pagi tadi sebelum dia ke tempat kerja. 

“Pagi ini dia berkelakuan agak pelik biasanya sebelum ke tempat kerja dia akan maklum dahulu, namun hari ini dia keluar kerja tanpa berkata apa-apa, tidak jumpa anak mahupun saya. Namun, malam tadi dia sempat bermain dan bergurau dengan anak kami yang berusia 11 bulan dan epanjang bekerja di sekolah itu dia tidak ada bercerita apa-apa pasal terlihat atau terjumpa gajah liar,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, akibat serangan gajah itu mangsa mengalami kecederaan pada bahagian leher kiri dan dada kiri serta meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tenggaroh 2.

Seorang lagi mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala, pendarahan dalam perut dan patah tulang pinggul.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Mersing sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Polis menerima panggilan pada pukul 11 pagi yang memaklumkan kejadian gajah mengamuk dan menyebabkan kecederaan orang awam. Kedua-dua mangsa yang merupakan pekerja kontrak pembersihan sekolah didapati bertindak menghalau seekor gajah liar dari mendekati kawasan sekolah sebelum diserang gajah iru,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Mersing untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Kami menasihatkan masyarakat melaporkan sebarang ancaman daripada binatang liar kepada pihak berkuasa. Janganlah mengambil tindakan sendiri sehingga menyebabkan konflik, seterusnya mencetuskan konfrontasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN