Sungai Gemencheh tercemar, berubah warna jadi hitam

Sungai Gemencheh tercemar, berubah warna jadi hitam

SUHAIMIZAN Bizar (kiri) melihat pegawai JAS mengambil sampel air susulan kejadian air Sungai Gemencheh menjadi hitam di Kampung Tenai, Tampin hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Penduduk di sekitar Kampung Geduk sehingga Sungai Kelamah di sini bimbang  selepas air Sungai Gemencheh berubah menjadi warna hitam sejak dua minggu lalu.

Seorang pekebun, Muhammad Shahir Arif, 30, berkata, masalah itu juga menyebabkannya risau dengan hasil tanaman sayur-sayuran yang mungkin terkesan akibat pencemaran itu.

“Saya segera ke sungai hari ini selepas mendapat tahu terdapat banyak ikan timbul dan mati dipercayai akibat keadaan sungai yang bertukar warna berkenaan.

“Apabila sampai saya lihat beberapa ekor ikan mati dan tenggelam timbul. Dalam tempoh dua minggu ini juga saya tidak ada melihat penduduk yang menjaring ikan di sini seperti kebiasaan” katanya ketika ditemui di Kampung Tenai, di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar berkata, hasil pemantauannya Bersama beberapa agensi lokasi, beliau mengesyaki perubahan warna sungai berkenaan adalah disebabkan operasi kilang berhampiran.

“Hari ini ada aduan tentang ikan mati dan pagi tadi juga saya tengok memang ada ikan mati dan secara mata kasar memang air sungai ini berwarna hitam. Saya harap ada masalah ini boleh diselesaikan dan pihak berwajib seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu meneliti kenapa air sungai berubah warna.

“Pihak yang bertanggungjawab perlu diambil tindakan sewajarnya. Biasanya apabila hujan, air sungai akan pulih, namun dalam dua minggu ini warna hitam bertambah teruk dan dipercayai kesannya sehingga ke penempatan Sungai Kelamah membabitkan jarak sungai kira-kira 10 kilometer,” katanya.

Dalam pada itu difahamkan, masalah berkenaan pernah berlaku kira-kira tujuh tahun lalu namun tidak berulang apabila sebuah kilang ditutup.

Bagaimanapun, penduduk mendakwa operasi kilang berkenaan sudah dibuka semula sejak awal tahun ini dan kini mereka dikejutkan sekali lagi dengan kejadian air sungai berwarna hitam.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN