‘Sudah kalah pilihan raya, berhijrahlah ke PKR’ - Utusan Malaysia

‘Sudah kalah pilihan raya, berhijrahlah ke PKR’

MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas ahli majlis pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengajak pengasas dan penyokong parti itu berhijrah ke PKR dan gabungan politik Pakatan Harapan (PH) bagi meneruskan agenda reformasi.

Dr. Muhammad Faiz Na’aman kini ahli biasa PKR membuat pelawaan itu selepas kekalahan besar calon Bersatu berturut-turut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, malam tadi dan PRK DUN Nenggiri sebelum ini.

Menurutnya, kekalahan itu isyarat jelas majoriti rakyat Malaysia terutama orang Melayu, Islam dan Bumiputera menolak sentimen politik 2R yang dimainkan Perikatan Nasional (PN).

“Saya seru kepada para pengasas dan akar umbi sejak zaman awal penubuhannya agar berhijrahlah kalian kepada PKR-PH bagi meneruskan agenda reformasi, pembaharuan, kemajuan dan memperjuang integriti tanpa perlu memainkan sentimen kaum dan agama yang memecah-belahkan masyarakat.

“Sebenarnya Bersatu rugi banyak dan besar sejak berpisah dari PH. Bersatu bukan sahaja kehilangan negeri-negeri ditadbir menteri-menteri besar mereka sebelum PRU15, malah terus jatuh menjadi pembangkang.

“Lebih menyedihkan, Pas mengangkat Tun Dr. Mahathir sebagai penasihat kepada empat negeri-negeri di bawah mereka memperlihat kepimpinan Bersatu semakin dipinggir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, kata Muhammad Faiz, sejak ‘berkawan’ dengan Pas, Bersatu bukan sahaja dianggap sebagai underdog, malah terdesak menerima watak-watak ekstrem buangan UMNO dan PKR sebagai tentera siber di media sosial dan kempen politik selepas keluar daripada PH.

“Para provokator dari Bersatu-PN (Perikatan Nasional) yang didominasi watak-watak tua buangan UMNO dan PKR kian hilang punca kerana bertentangan dengan roh perjuangan asal Parti Bersatu yang sepatutnya membawa masyarakat Melayu menjadi lebih moderat melalui pemikiran pragmatik dan rasional, bukannya retorik dan sentimen seperti sikap NGO-NGO yang menunggang istilah ketuanan Melayu,” katanya.

Katanya, imej dan reputasi Bersatu ‘diperkosa’ oleh mentaliti jumud Pas dengan melaungkan Islam sebagai terancam, manakala pesaing politik mereka dilabel sebagai kafir harbi sesuka hati.

“Ahli-ahli Bersatu sudah tenggelam dipengaruhi cara berpolitik Pas yang hanya laku di kawasan-kawasan Melayu ultra konservatif sahaja,” katanya.

Malam tadi, calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bukan sahaja mempertahankan kerusi DUN Mahkota, malah, menang dengan majoriti besar dalam PRK itu.

Syed Hussien mendapat 27,995 undi, sekali gus menang dengan majoriti 20,648 undi. Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar jauh ketinggalan apabila hanya mendapat 7,347 undi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya