JERANTUT: Seorang isteri merayu sumbangan orang ramai bagi membeli mesin oksigen, katil hospital dan kerusi roda untuk suaminya, Kasim Saad, 69, yang menderita dan terlantar akibat angin ahmar di Felda Sungai Tekam Utara di sini.
Sharina Abd. Razak, 61, berkata, keadaan penyakit dialami suaminya kini semakin melarat dan serius serta mula tidak mampu bercakap dan bergerak.
“Suami juga kerap mengalami gangguan pernafasan. Dia kini hanya terlantar di katil dan tidak berupaya bangun.
“Segala urusan kebajikan suami kini diuruskan oleh saya sepenuhnya dan dibantu oleh anak jika hendak mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sharina berkata, selepas suaminya terlantar akibat penyakit itu, dia perlu menyediakan keperluan seperti susu, lampin pakai buang dan mesin kahak bernilai RM450.
“Kini suami memerlukan bantuan mesin oksigen dan saya tidak mampu lagi menyediakan peralatan ini kerana wang rawatan termasuk pengangkutan menyewa ambulan sudah mencecah RM6,000 sehingga tempoh ini,” katanya.
Menurutnya, dia terpaksa berbelanja RM750 sebulan untuk membeli enam tin susu khas berharga RM125 satu tin.
“Susu ini dapat bertahan lima hari sahaja dan bermakna setiap bulan suami saya memerlukan enam tin susu ini tidak termasuk peralatan kebersihan diri.
“Sehingga ini, suami amat memerlukan mesin oksigen, katil hospital dan kerusi roda untuk ke bilik air bagi kemudahan membersihkan diri.
“Mana mampu saya berbelanja peralatan berkenaan kerana pendapatan hasil sawit kian menurun berikutan pengeluaran buahnya kurang akibat pokok tua termasuk melunaskan bayaran lain,” katanya.
Sharina berharap ada dermawan dan pihak berwajib dapat membantu meringankan perbelanjaannya kerana suaminya masih menerima rawatan berkala di hospital selain keperluan susu, peralatan kebersihan diri serta barang keperluan dapur dan bil.
Orang ramai dan dermawan yang ingin membantu menghubungi Sharina menerusi talian 016-8209535 atau sumbangan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional nombor 0699541100206040 (Kasim).