KOTA BHARU: Stadium Sultan Muhammad IV ditutup untuk sebarang acara sukan atau lain-lain aktiviti sehingga 15 Oktober bagi membolehkan kerja-kerja penambahbaikan sistem saliran serta kemudahan lain berjalan lancar.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Zamakhshari Muhamad berkata, keputusan itu turut mengambil faktor keselamatan berikutan penggunaan jentera berat sepanjang proses tersebut.
Menurutnya, setakat ini kerja-kerja baik pulih berjalan lancar dan sudah mencapai 60 peratus serta dijangka siap mengikut jadual sebelum diserahkan kembali kepada Perbadanan Stadium Kelantan (PSK).
“Isu air bertakung menjadi perkara utama berbanding isu lain kerana ia boleh menyebabkan perlawanan bola sepak tertangguh atau terpaksa dibatalkan.
“Selain itu membincangkan soal menukar rumput stadium di peringkat Persekutuan. Namun disebabkan ia melibatkan kos agak tinggi, kita putuskan ia bukan satu keperluan pada ketika ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau kerja-kerja penambahbaikan saliran di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Zamakshari memberitahu, sistem saliran baharu mampu menampung sehinga 450,000 liter air sekali gus mengurangkan masalah air bertakung di atas padang semasa hujan lebat.
Katanya, masalah papan pemarkahan utama sedang diatasi dengan menjalan rundingan dengan beberapa pembekal bagi menjalinkan kerjasama dalam usaha menyelesaikan masalah tersebut.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang meluluskan dan menaylurkan bantuan sebanyak RM500,000 bagi memastikan kerja penambaikan dapat dilaksanakan,” ujarnya.-UTUSAN