SSPA tambah baik bantuan pakaian, cuti - Utusan Malaysia

SSPA tambah baik bantuan pakaian, cuti

BANTUAN pakaian, kemudahan perubatan serta penambahbaikan cuti separuh gaji dan cuti menjaga anak antara kelebihan sekiranya penjawat awam memilih skim Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bantuan pakaian, kemudahan perubatan serta penambahbaikan cuti separuh gaji dan cuti menjaga anak antara kelebihan sekiranya penjawat awam memilih skim Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). 

Menurut poster di laman Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), bantuan itu melibatkan kot, jubah mahkamah serta pakaian panas di tempat kerja. 

Jelas poster itu, kadar bayaran kot kepada pegawai yang bertugas di mahkamah ditambah baik daripada RM250 sehelai kepada RM500 tanpa had bilangan. 

“Kemudahan bayaran baju kot kepada pegawai yang bertugas di mahkamah dan bantuan blazer digabungkan menjadi bantuan baju kot. 

“Selain itu, nama elaun pakaian seragam (istiadat) yang diperuntukkan kepada pegawai undang-undang dan pegawai syariah dipinda kepada bantuan pakaian jubah mahkamah. 

“Peruntukan kepada pegawai syariah ditambah baik supaya boleh menerima kedua-dua bantuan baju kot dan bantuan pakaian jubah mahkamah,” menurut poster itu. 

Seterusnya, nama kemudahan pakaian panas bilik komputer dipinda kepada bantuan pakaian panas tempat kerja dengan kadar sedia ada sebanyak RM150 ditambah baik kepada sebanyak RM200. 

“Pemberian kemudahan ini diperluaskan kepada mana-mana pegawai yang bertugas di persekitaran kerja yang diselenggara di bawah suhu 20 darjah Celsius,” katanya. 

Pada masa sama, pemberian kemudahan perubatan untuk keluarga pegawai ditambah baik dengan pemanjangan had umur anak yang masih mendapat pendidikan menuju Ijazah Pertama daripada 21 tahun kepada 26 tahun. 

SSPA juga memperluaskan kemudahan cuti separuh gaji sedia ada yang diberikan atas sebab-sebab kesihatan sanak saudara rapat meliputi keluarga pegawai sendiri, ibu bapa, adik-beradik, ibu bapa mentua, nenek dan datuk pegawai. 

Ia diperluaskan kepada ibu bapa angkat, ibu bapa tiri, anak angkat, anak pelihara, anak angkat de facto dan anak tiri tanggungan. 

Kemudahan cuti menjaga anak juga dipanjangkan kepada pegawai lelaki yang mempunyai anak kandung, anak tiri tanggungan, anak angkat de facto, anak angkat atau anak pelihara dengan tempoh yang dibenarkan terhad sehingga satu tahun sepanjang tempoh perkhidmatan atau sehingga anak mencapai umur lima tahun, mengikut mana-mana yang terdahulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN