Sri Pahang belasah PDRM 5-1 - Utusan Malaysia

Sri Pahang belasah PDRM 5-1

KPAH Sherman (kiri) meledak dua gol bagi membantu Sri Pahang membelasah PDRM FC 5-1 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Bukan sahaja menghapuskan badi seri, Sri Pahang akhirnya berjaya memperoleh kemenangan terbesar musim ini selepas membelasah PDRM FC 5-1 di sini.

Aksi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh itu sudah pasti menjadi titik tolak Sri Pahang untuk kembali sebagai pasukan yang perlu diberi perhatian selepas ini.

Kpah Sherman berjaya memulakan malam gemilang Tok Gajah di laman sendiri dengan gol pendahuluan pada minit ke-16 sekali gus meletakkan namanya sebagai penjaring terbanyak Sri Pahang musim ini.

PDRM FC turut melakukan percubaan gol ke arah gawang Sri Pahang terutama beberapa percubaan bahaya dari Bruno Suzuki dan Shahrul Fikri.

Dalam masa sama, Sri Pahang terus berusaha menambah jaringan gol dan Stefano Bruno berjaya mencetak gol ke tiga musim ini pada minit ke-24 untuk menambah derita anak buah P. Maniam.

Belum reda dengan kejutan gol yang ke sembilan Sri Pahang sepanjang musim ini, selang satu minit, Manual Hidalgo tidak mahu ketinggalan untuk mencetak namanya sebagai penjaring gol malam ini.

Gol jaringan Hidalgo itu membuatkan Maniam tidak senang duduk sehingga terpaksa menukar penjaga gol yang sudah melepaskan tiga gol dalam masa 30 minit.

Namun, ia bukan halangan buat skuad Tok Gajah untuk terus menjaringkan gol apabila berjaya meledak gol keempat Sri Pahang sekali lagi menerusi jaringan Bruno.

Tambahan masa dua minit memberi peluang kepada PDRM FC melakukan beberapa serangan balas sehingga mendapat sepakan sudut tetapi tidak mengubah apa-apa keputusan hingga tamat separuh masa.

Bersambung babak ke dua, belum sampai dua minit perlawanan, Sri Pahang berjaya menambah jaringan untuk keputusan 5-0 menerusi jaringan Kpah.

Penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan akhirnya tewas buat kali pertama pada minit ke-73 melalui tandukan cantik Bruno Suzuki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN