KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menggagalkan cubaan mengedar 3,43,400 batang rokok seludup selepas menyerbu sebuah rumah dan dua buah kereta di jalan Gong Bayor, Kampung Pak Mentosa, Kuala Besut, Terengganu pada 19 September lalu.
Serbuan pukul 11.30 pagi itu membabitkan nilai rampasan termasuk cukai yang dianggarkan berjumlah RM207,121.82.
Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, hasil pemeriksaan di atas rumah yang tidak bernombor itu JKDM Kelantan telah menjumpai 268,400 batang rokok pelbagai jenis dan jenama.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas dua buah kereta jenis Proton Wira yang diparkir di kawasan rumah itu membawa kepada penemuan rokok seludup.
“Kita telah menjumpai 43,400 batang rokok di dalam kereta pertama manakala kereta kedua pula 31,600 batang rokok,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, siasatan awal mendapati penyeludup membawa rokok tersebut dari negara jiran sama ada melalui sungai atau laut.
Katanya, rokok-rokok tersebut kemudian diangkut menggunakan menggunakan sampan atau bot sebelum dibawa dengan kenderaan untuk pasaran tempatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d), Akta Kastam 1967,” ujarnya.-UTUSAN