Sistem Bank Rakyat kekal selamat - Utusan Malaysia

Sistem Bank Rakyat kekal selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Rakyat menjelaskan bahawa sistemnya kekal selamat dan sentiasa mengutamakan kepentingan pelanggan berikutan dakwaan yang tular di media sosial baru-baru ini.

Bank Rakyat dalam kenyataan menjelaskan bahawa sistemnya kekal selamat dan sentiasa mengutamakan kepentingan pelanggan.

Pihak bank itu memandang serius kebimbangan yang wujud berikutan dakwaan tersebut.

“Bank Rakyat kekal komited terhadap ketelusan dan mengutamakan kepentingan pelanggan menerusi pembangunan teknologi secara berterusan bagi terus mempertingkatkan kekukuhan dan menambah baik daya tahan operasi untuk memastikan dapat menyediakan perkhidmatan perbankan yang kondusif dan selamat untuk pelanggan kami,” kata kenyataan itu hari ini.

Bank Rakyat turut menjelaskan bahawa pihaknya telah pun menghubungi pelanggan secara individu melalui surat dan sistem pesanan ringkas (SMS) serta mengambil langkah proaktif untuk memastikan keselamatan perbankan pelanggan.

“Bank Rakyat meningkatkan lagi kesedaran dan panduan kepada pelanggan untuk melindungi diri daripada ancaman keselamatan siber,” kata bank berkenaan.

Sebelum ini, timbul dakwaan berlaku insiden ketirisan data yang mungkin melibatkan beberapa maklumat pelanggan Bank Rakyat.

Dalam pada itu, Bank Rakyat telah melaporkan insiden ini kepada pihak berkuasa dan membuat siaran media sebelum ini.

Namun Bank Rakyat juga meyakinkan pelanggan, rakan kongsi perniagaan dan pihak berkepentingan bahawa semua operasi perniagaan kekal berfungsi sepenuhnya.

“Integriti dan keselamatan perbankan pelanggan kekal sebagai keutamaan utama bank,” katanya.

Jika ada pelanggan mengesyaki sebarang aktiviti yang mencurigakan, mereka harus segera menghubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di 1300 800 800 atau 03-55269200 atau Pusat Respons Scam Kebangsaan di 997.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN