Sisa vape ancaman baharu pencemaran pantai - Utusan Malaysia

Sisa vape ancaman baharu pencemaran pantai

SEBAHAGIAN sukarelawan yang menyertai program pembersihan pantai di Pantai Tanjung Tuan, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Bahan sisa elektronik ataupun e-waste seperti peranti dan aksesori vape dilihat sebagai ancaman baharu kepada pencemaran pantai di Port Dickson berdasarkan peningkatan penemuan e-sisa tersebut setiap kali diadakan program pembersihan pantai sejak kebelakangan ini.

Aktivis alam sekitar, Noor Fadzli Shah berkata, keadaan tersebut agak membimbangkan kerana sisa elektronik sepatutnya dilupuskan di tempat yang telah dikhususkan dan tidak sepatutnya ia dibuang begitu sahaja terutama di kawasan perairan yang mempunyai pelbagai kehidupan marin.

Jelas beliau, peranti vape mengandungi bateri dan pelupusan secara tidak wajar bukan sahaja mendatangkan bahaya pencemaran logam berat kepada alam sekitar malah memberi risiko kepada kesihatan manusia.

“Dalam setiap program pembersihan pantai yang dijalankan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sampah yang dikutip dalam tempoh dua jam boleh mencecah sehingga 300 kilogram antaranya seperti botol minuman kaca dan plastik, tin minuman dan lampin bayi.

“Kebelakangan ini sisa elektronik iaitu vape juga kerap ditemukan khususnya vape pakai buang. Kami menemukan anggaran dua hingga empat unit vape pakai buang pada setiap kali program dan boleh dikatakan sebanyak 40 unit peranti tersebut ditemukan sepanjang setahun.

“Keadaan ini akan menyebabkan pencemaran logam berat di lautan yang mempunyai pelbagai kehidupan laut yang akhirnya menjadi makanan kepada manusia,” katanya ketika ditemui pemberita pada program pembersihan pantai di sini hari ini.


NOOR FADZLI SHAH

Menurut Noor Fadzli lagi, oleh itu sisa elektronik seperti vape boleh disifatkan sebagai trend baharu sisa sampah dikutip yang seharusnya perlu diberikan pihak berwajib.

“Setiap sampah yang kita kutip direkodkan jenis, berat dan sebagainya, dari tahun ke tahun memang nampak perbezaan yang menunjukkan peningkatan. 

“Pastik sentiasa menjadi penyumbang terbesar bahan buangan di pantai dengan peningkatan hampir 50 peratus berbanding beberapa tahun lepas, diikuti sisa makan dan lain-lain buangan.

“Tidak kira botol, penutup botol, plastik sekali guna, ia sangat di luar kawalan, kita memang memerlukan aktiviti perniagaan untuk rancakkan ekonomi setempat tetapi pada masa sama pemantauan lebih kerap perlu dilakukan untuk membendung masalah pembuangan sampah termasuk oleh orang awam,” katanya lagi.

Sementara itu, katanya, program pembersihan pantai yang diadakan di beberapa buah pantai seperti Pantai Tanjung Biru dan Pantai Cermin di sini serta Pantai Tanjung Tuan itu melibatkan penyertaan kira-kira 250 sukarelawan dari beberapa buah NGO antaranya Kelab Bangsa Prihatin Negeri Sembilan dan Eco District selain pelajar dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN