Sindiket pengemis OKU warga China tumpas, enam diberkas - Utusan Malaysia

Sindiket pengemis OKU warga China tumpas, enam diberkas

JABATAN Imigresen menumpaskan sindiket pengemis OKU warga China dalam Op Serkap di sebuah apartment di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Selepas menjalankan risikan selama dua bulan, Jabatan Imigresen negeri ini berjaya menumpaskan sindiket pengemis jalanan yang didalangi dua wanita warga China yang mengeksploitasi rakan senegara yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Pengarah Imigresen negeri, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, dalam Op Serkap Khamis lalu, pihaknya menahan enam warga negara tersebut pada pukul 4.20 petang.

“Sindiket tersebut menjadikan sebuah apartmen di bandar raya ini sebagai tempat pertemuan untuk menyerahkan hasil kutipan mengemis mereka.

“Modus operandi digunakan pengemis OKU adalah dengan taktik meraih simpati menggunakan kekurangan dan kecacatan fizikal mereka, selain turut berpura-pura sakit bagi mendapatkan sumbangan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd. Rusdi memberitahu, sindiket tersebut didalangi dua wanita warga China yang mengutip hasil mengemis daripada rakan senegara yang berstatus OKU dengan kudung sebelah kaki dan sebelah tangan.

“Dua wanita itu menjadi orang atasan kepada semua lelaki OKU berkenaan, mereka juga mengagihkan imbuhan hasil mengemis kepada semua pihak terlibat.

“Siasatan awal mendapati kesemua pengemis itu mampu meraih pendapatan antara RM2,400 hingga RM12,000 seorang sebulan dan mereka  menerima imbuhan hingga RM1,200 sebulan,” jelasnya.

Kesemua suspek yang berusia 51 hingga 63 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Jabatan Imigresen memandang serius isu sindiket dalam kalangan warga asing dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat tentang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN