Sijil halal: Perlu jaga sentimen orang Islam, bukan Islam - Utusan Malaysia

Sijil halal: Perlu jaga sentimen orang Islam, bukan Islam

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebarang pertikaian berhubung cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini memiliki sijil halal hanya akan ‘merosakkan’ keadaan negara yang kini berada dalam keadaan baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sentimen masyarakat di negara ini perlu dijaga dan sewajarnya setiap pandangan berkaitannya dibawa untuk diperbincangkan supaya ia dapat diteliti.

Menurutnya, kenyataan-kenyataan kontroversi yang dikeluarkan adalah tidak relevan dalam masyarakat di negara ini yang mempunyai sentimen masing-masing.

“Jika mahu diberikan perhatian, bawa dalam mesyuarat dan kita teliti. Tidak boleh begini, ia menimbulkan kontroversi yang tak relevan dalam masyarakat kita. 

“Peraturan (sijil halal) perlu supaya umat Islam tidak rasa was-was, kalau dirasakan peraturan itu tidak diperlukan di beberapa kawasan tertentu, bincanglah secara elok. Kalau mahu mewakili beberapa (pihak) tidak mengapa, tetapi tidak perlu kerana ia tidak membantu untuk menjernihkan keadaan.

“Kita kena jaga sentimen orang Islam, orang bukan Islam, caranya adalah runding secara elok bukan untuk kehebatan masing-masing, negara kita sudah dalam keadaan baik sekarang, politik stabil, penghargaan dunia baik, ekonomi naik, buat apa perkara-perkara ini merosakkan,” katanya.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan), Lebuh Raya Utara Selatan di sini, hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini memiliki sijil halal.

Langkah itu bagi mengecualikan restoran yang menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, proses untuk mendapatkan sijil halal ketika ini adalah lebih kepada sukarela oleh pengusaha restoran atau pemilik syarikat makanan.

Perkara itu kemudian mendapat maklum balas Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang dilaporkan berkata, cadangan itu hanya menambah beban kepada peniaga dan memalukan negara.

Beberapa pihak lain kemudian mengeluarkan kenyataan menempelak Teresa dengan menganggap kenyataan Ahli Parlimen Seputeh itu menggugat keharmonian serta perpaduan negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya