Sewa kerusi roda khas demi hadir konvokesyen - Utusan Malaysia

Sewa kerusi roda khas demi hadir konvokesyen

IR. Dr. Ahmad Sabirin Arshad (tengah) menyampaikan sijil diploma kepada Muhammad Farhad yang berkerusi roda pada Majlis Konvokesyen Politeknik Port Dickson Kali ke-31 Tahun 2024, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang ibu sanggup menyewa sebuah kerusi roda khas bagi memastikan anaknya, Muhammad Farhan Mohd. Farid, 22, dapat hadir untuk menerima sendiri Diploma Kejuruteraan Elektrikal sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Port Dickson (PPD) Kali ke-31 Tahun 2024, di sini, hari ini. 

Hasbiah Razali, 48, yang menetap di Klang, Selangor yang merupakan guru besar bagi sebuah institut pendidikan awal swasta berkata, anaknya itu mengalami kecederaan putus ligamen akibat jatuh semasa bekerja tahun lalu dan telah menjalani pembedahan pada 12 September lalu.

“Disebabkan kecederaan ini anak tidak boleh bergerak aktif sedangkan sebulan lalu, anak saya sudah tidak sabar untuk hadir ke konvokesyen ini. Sebagai ibu, tentulah saya tidak mahu dia terlepas waktu paling berharga juga bersama rakan-rakannya.

“Saya juga tidak mahu dia bersedih, Alhamdulillah, Muhammad Farhan yang kini merupakan pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) telah menerima diplomanya tadi malah kami tidak menyangka tetamu kehormat sendiri turun ke bawah pentas bagi menyerahkan sijil diplomanya itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi Sidang Pertama, Majlis Konvokesyen Politeknik Port Dickson Ke-31 di sini hari ini.

Seramai 1,817 orang graduan dari empat jabatan iaitu Jabatan Perdagangan, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal menerima diploma yang disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sirim Berhad merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri Politeknik Port Dickson, Datuk Ir. Dr Ahmad Sabirin Datuk Arshad pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Port Dickson, Hasan Mohd. Sharif berkata, politeknik itu setakat ini telah berjaya melahirkan seramai 45,000 graduan.

“Politeknik Port Dickson telah menginjak usia ke 34 tahun ini dan graduan dilahirkan telah menyumbang bakti kepada negara dalam pelbagai bidang kepakaran selain kami telah mencorak begitu banyak kejayaan dan melakar nama di peringkat kebangsaan dan persada antarabangsa.

“Lebih membanggakan, berlaku peningkatan kemasukan pelajar baharu bagi Sesi 1 2024/2025 iaitu sebanyak 105 peratus berbanding sesi 1 2023/2024. Ini membuktikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap kualiti pendidikan di Politeknik Port Dickson,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN