JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan kes pendakwaan lima anggota keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis dan seorang cedera pada Mei lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hakim, Rasidah Roslee mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes yang dihadapi kesemua tertuduh.
Bagi tujuan itu, Rasidah memerintahkan agar Radin Imran Radin Mohd. Yassin, 62, dan Radin Romyullah Radin Imran, 34, ditempatkan di Penjara Sungai Buloh, manakala Rosna Jantan, 59, dan Farhah Sobrina Radin Imran, 23, ditempatkan di Penjara Kajang.
Sementara itu, mahkamah turut memerintahkan Mariah Radin Imran, 19, ditempatkan ke Hospital Permai Johor Bahru bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mental.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Radin Imran yang juga bapa suspek kejadian serangan pada 17 Mei itu didakwa menggalakkan perbuatan pengganas dengan cara menanam ideologi keganasan berkait kumpulan pengganas Islamic State (IS) kepada isterinya, Rosna, dua anak lelakinya termasuk suspek yang berumur 21 tahun dan Radin Romyullah serta dua anak perempuannya, Farhah Sobrina dan Mariah.
Radin Imran juga didakwa dengan tiga lagi pertuduhan memberi sokongan kepada perbuatan pengganas dengan menyimpan empat pucuk senapang angin buatan sendiri untuk menjalankan aktiviti IS; berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas berkenaan, iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi dan memiliki sebuah buku berkaitan IS.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram di sini antara penghujung 2014 hingga 17 Mei lalu.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun berserta denda, Seksyen 130J(1) Kanun Keseksaan iaitu penjara seumur hidup atau tidak lebih 40 tahun atau denda dan dirampas harta yang digunakan dan Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, iaitu penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda dan dilucutkan bahan dimiliki itu, jika sabit kesalahan.
Sementara itu tertuduh kedua, Radin Romyullah yang juga abang suspek, didakwa dengan dua pertuduhan iaitu berbaiah kepada pemimpin kumpulan IS dan memiliki satu ‘external hard disc’ yang mengandungi bahan berkaitan IS dan aktiviti kumpulan itu di lokasi sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara penghujung 2014 hingga 17 Mei lepas mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak lebih 40 tahun berserta denda dan Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.
Rosna yang merupakan warga Singapura serta Farhah Sobrina dan Mariah pula masing-masing didakwa atas satu pertuduhan dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat berkenaan kesalahan berkaitan ideologi keganasan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama antara April 2017 hingga 17 Mei lepas mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yaziq Mustaqim Roslan, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Faizal Rahman. – UTUSAN