Selangor paling banyak syarikat cetak al-Quran, 4 negeri langsung tiada - Utusan Malaysia

Selangor paling banyak syarikat cetak al-Quran, 4 negeri langsung tiada

KOMPLEKS Nasyrul Quran di Putrajaya merupakan kilang percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Madinah, Arab Saudi. - Foto arkib UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selangor kekal muncul sebagai negeri paling banyak memiliki syarikat percetakan al-Quran di Malaysia sejak lesen khas itu diwujudkan kira-kira 36 tahun lalu.

Perkara berkenaan didedahkan oleh Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Nik Yusaimi Yussof ketika dihubungi Utusan Malaysia.

“Berdasarkan statistik semasa, Selangor ada sebanyak 18 buah syarikat iaitu jumlah yang paling tinggi untuk pemegang Lesen Mesin Cetak Al-Quran (LMCQ) ketika ini,” jelasnya.

Secara keseluruhannya ujar beliau lagi, pihak KDN merekodkan kira-kira 46 buah syarikat setakat ini dengan paling baharu pada 16 Februari lalu yang turut melibatkan negeri itu.

Percetakan Norfatimah Sdn. Bhd. katanya, beralamat di Alfa Impian, Balakong manakala dua hari sebelumnya pula ialah Percetakan Nasional Malaysia Berhad di Kuala Lumpur.

Uniknya tambah Nik Yusaimi, Wilayah Persekutuan yang pertama itu malah sehingga kini sudah mencatatkan bilangan pemegang LMCQ kedua paling banyak di Malaysia iaitu 11.

Angka ini jauh mengatasi jirannya sendiri, Putrajaya yang baru merekodkan satu sahaja pemegang lesen iaitu Nasyrul Quran di Presint 14 yang menerima kelulusan pada 2019.

“Ada juga tiga lagi negeri yang direkodkan KDN masing-masing hanya memiliki sebuah syarikat percetakan al-Quran sahaja iaitu Kedah, Terengganu dan Sarawak,” kata beliau.

Sementara empat negeri lain pula jelasnya, ialah Kelantan dengan lima buah diikuti Johor pula sebanyak tiga buah serta Melaka dan Pulau Pinang masing-masing ada dua syarikat.

Permit khas tersebut dikawal amat ketat dan dikeluarkan secara eksklusif oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) yang di bawah KDN sendiri.

Nik Yusaimi walau bagaimanapun mengakui baki empat lagi negeri iaitu Negeri Sembilan, Perak, Perlis dan Sabah sebagai langsung sifar syarikat yang ditauliahkan dengan LMCQ.

LPPPQ mula melaksanakan lesen khas berkenaan pada 1988 lalu dengan syarikat yang pertama iaitu Percetakan Al-Ma’arif Press di Sungai Pinang, George Town, Pulau Pinang.

Ini ujarnya, disusuli tiga buah syarikat pada 1991 iaitu S. Abdul Majeed di Kuala Lumpur, Percetakan Semasa di Kuching, Sarawak dan Dian Darul Naim di Kota Bharu, Kelantan.

“Bilangan keseluruhannya memang sedikit kerana bukan semua syarikat boleh memohon LMCQ dengan syaratnya cukup ketat dan hanya diuruskan orang Islam sahaja,” tegasnya.

Penerbitan kitab suci berkenaan juga kata Nik Yusaimi, tertakluk kepada Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 (Pindaan 2023) termasuklah pengimportan dari luar negara.

Bahkan LPPPQ pada 14 Julai lalu, telah memutuskan yang pemegang permit itu jika ingkar, boleh dibatalkan LMCQ dan tidak boleh memperbaharui lesen bagi tempoh dua tahun.

Langkah drastik ini katanya, membuktikan keseriusan KDN bagi memerangi teks al-Quran dikesan tanpa pematuhan syarat APTQ yang boleh mengelirukan umat Islam di Malaysia.

Ini termasuk kitab tersebut dari jenis premium yang dijual mahal mencecah ratusan ringgit senaskhah apabila ada didapati tiada pun perakuan atau pelekat hologram sah LPPPQ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN