Sektor swasta perlu sokong IPT bangunkan AI - Utusan Malaysia

Sektor swasta perlu sokong IPT bangunkan AI

ANWAR brahim bersalaman dengan para peserta 'Invest Malaysia: Where Policy Meets Progress' di Hotel Sunway Big Box, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Institusi pengajian tinggi  (IPT) tempatan diminta membangunkan silibus pendidikan yang dapat melahirkan modal insan memenuhi keperluan pasaran berkemahiran tinggi antarabangsa, termasuk dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama antara sektor swasta dan IPT awam dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebelum ini boleh dijadikan sebagai contoh.

Justeru, katanya, usaha Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mewujudkan Fakulti AI pertama di negara ini dalam tempoh empat bulan wajar dipuji.

“Bagi memperkenalkan bidang pelajaran baharu di universiti, biasanya memerlukan satu hingga dua tahun, namun kita tidak mempunyai masa untuk menunggu selama itu, tetapi UTM berjaya lakukan.

“Tetapi itu merupakan program awal. Jadi, kita perlukan kerjasama pihak bank, konglomerat dan juga bursa untuk bekerjasama dengan IPT bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja kompeten.

“Program pendidikan ini perlu berjalan sebagai satu program yang normal. Usaha ini penting kerana syarikat antarabangsa seperti Nvidia, Google dan juga Amazon menyatakan kebimbangan dengan bekalan tenaga kerja berkemahiran tinggi tempatan,” katanya merasmikan ‘Invest Malaysia: Where Policy Meets Progress’ di Hotel Sunway Big Box, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Johor,  Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Sementara itu, Anwar turut memberitahu inisiatif baharu perlu terus diperkenalkan bagi menarik kemasukan lebih banyak pelaburan antarabangsa menerusi kerjasama erat Malaysia dan negara ASEAN.

“Sekarang kita lihat kolaborasi baik di Johor dengan Singapura menerusi inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), semua pemain industri turut berkolaborasi bagi menjadikan usaha ini satu kejayaan,” jelasnya.

Januari lalu, UTM memaklumkan seramai 120 penuntut tempatan akan menjadi kumpulan perintis bagi mengikuti pengajian di Fakulti AI pertama negara di universiti awam berkenaan bermula sesi Akademik 2024/2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya