Sejati Madani bukan program PRK - Zahari - Utusan Malaysia

Sejati Madani bukan program PRK – Zahari

ZAHARI Sarip (kanan) melihat tanaman hidroponik yang diusahakan di Kampung Tengah menerusi program Sejati Madani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Program Sejati Madani melibatkan lima buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang sedang dilaksanakan ketika ini bukan program sempena Pilihan Raya Kecil (PRK). 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, lima buah kampung yang terlibat ialah Kampung Tengah, Bentong, Palembang Baru, Padang Tembak dan Sembrong. 

Katanya,  program pembangunan kampung di Johor itu dilaksanakan sepanjang tahun tanpa mengira masa, tempat dan DUN. 

“Setiap kampung menerima peruntukan secara geran bersyarat antara RM50,000 hingga RM100,000 menerusi Program Sejati Madani ini. 

“Saya difahamkan bahawa projek hidroponik di Kampung Tengah ini sudah diluluskan dan diharapkan ia dapat dilaksanakan sebaik-baiknya, seterusnya dikembangkan menjadi program pembangunan kampung yang berjaya menghasilkan ratusan ribu ringgit nanti,” katanya.

Menurut Zahari, projek pembangunan di kampung-kampung terpilih itu melibatkan perusahaan rumah Singgah Madani bagi Kampung Bentong, program sistem hidroponik dan gimnasium untuk Kampung Tengah serta perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) berasaskan kacang soya di Kampung Palembang Baru. 

“Bagi Kampung Padang Tembak adalah gimnasium, manakala Kampung Sembrong projek tanaman hidroponik (sawi, kailan dan bayam) serta pembangunan IKS Kampung Sembrong,” katanya. 

Mengenai Program Jualan Kasih Madani, Zahari berkata, Lembaga Pemasaran  Pertanian Persekutuan (FAMA)  telah memperuntukkan antara RM50,000 hingga RM70,000 untuk setiap program jualan yang diadakan. 

“Ia sebahagian daripada peruntukan RM5 juta yang telah disediakan oleh kerajaan negeri bagi mengadakan jualan ini sepanjang tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN