‘Saya selalu ingatkan arwah supaya tidak naik motosikal’

‘Saya selalu ingatkan arwah supaya tidak naik motosikal’

ISMAIL Omar (kiri) tidak dapat menahan sebak apabila seorang daripada anaknya menunjukkan gambar arwah Muhammad Eiman Akiff ketika ditemui di Kampung Seri Ketengga, Mukim Siong, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: “Dalam masa beberapa hari sebelum kemalangan saya tak sedap hati, selalu ingatkan arwah supaya tidak naik motosikal ke sekolah kerana bimbang sesuatu yang buruk menimpanya.

Demikian kata Ismail Omar, 55, tentang nahas yang meragut nyawa anaknya, Muhammad Eiman Akiff, 13, dalam kejadian berhadapan Masjid Charuk Puteh, Jalan Baling-Tanjung Pari, kira-kira pukul 1.20 petang kelmarin.

“Pagi semalam (kelmarin) pada pukul 6.40 pagi, saya tidak sempat berjumpa anak yang keluar ke sekolah awal dengan menaiki motosikalnya yang baru dibeli empat bulan lalu.

“Ketika kemalangan, saya baru tiba di rumah setelah mengambil dua lagi anak dari Sekolah Kebangsaan Tanjung Pari, sebelum tiba-tiba datang seorang kawan yang daripada raut wajahnya saya dapat agak apa yang berlaku.

“Saya segera ke tempat kejadian, namun apabila tiba di sana pihak polis dan orang kampung tidak benarkan saya melihat jenazah anak yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya ketika ditemui di Kampung Seri Ketengga, Mukim Siong, semalam.

Kata Ismail, dia tidak dapat melupakan permintaan anak sulungnya itu yang sejak sehari dua lalu gemar menu lauk ayam masak kicap dan ayam masak merah yang dibeli di sebuah restoran di Pekan Baling.

“Kebelakangan ini anak selalu pesan supaya belikannya lauk ayam masak kicap dan masak merah untuk makan apabila balik dari sekolah, walhal sebelum ini dia tidak begitu, malah makan apa sahaja yang saya sediakan.

“Saya menunaikan permintaannya dan gembira apabila dia makan nasi dengan berselera, tetapi semalam saya tidak sempat menunaikan permintaannya apabila dia terlebih dahulu pergi meninggalkan kami,” katanya.

Jenazah Muhammad Eiman Akiff selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Pari, kira-kira pukul 10 malam.

Terdahulu, remaja terbabit maut selepas motosikal yang dia tunggang merempuh sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu suri rumah berusia 33 tahun yang berhenti untuk membelok ke simpang sebelah kanan jalan.

Akibat rempuhan itu, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Siong tersebut hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang besi sebelah kanan jalan arah ke Baling.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN