Saran gaji profesional tempatan dinaikkan untuk beri perkhidmatan lebih berkualiti

Saran gaji profesional tempatan dinaikkan untuk beri perkhidmatan lebih berkualiti

AHLI-AHLI pelbagai persatuan di bawah Balai Ikhtisas Malaysia yang menyertai Bengkel Perancangan Strategik 2025-2030.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KINRARA: Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) menyarankan gaji golongan profesional dikaji seterusnya diselaraskan semula bagi membolehkan mereka menyediakan perkhidmatan lebih berkualiti kepada masyarakat dan negara.

Cadangan itu disuarakan dalam Bengkel Perancangan Strategik 2025-2030 anjuran BIM bagi memperkasakan misi serta meningkatkan standard profesionalisme di negara ini.

“Perbincangan terperinci bersama badan profesional di dalam BIM berpendapat bahawa gaji semua penggiat profesional perlu dikaji dan diselaraskan semula di Malaysia. 

“Kajian ini akan melonjakkan kualiti perkhidmatan ke arah melahirkan masyarakat Madani yang lebih cekap dan progresif,” kata BIM dalam satu kenyataan.

Seramai 20 ahli BIM menyertai bengkel berkenaan yang turut menggubal semula visi dan peranan BIM sebagai pusat kecemerlangan profesional yang diiktiraf di peringkat global untuk berkhidmat kepada masyarakat. 

Penjenamaan semula BIM bertujuan memastikannya lebih relevan dengan keperluan industri profesional semasa. 

Bengkel turut melihat keperluan untuk menyediakan satu Rangka Tindakan  Profesional Negara bagi 2025 hingga 2030 bermatlamat memastikan standard profesional yang konsisten dan menyelaras industri global, menyokong modal insan, pembangunan ekonomi dan pembangunan lestari, menyediakan rangka kerja bagi inovasi dan transformasi digital dan memperkasakan tenaga kerja dan masyarakat.

Penganjuran bengkel itu juga menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkaitan nisbah jurutera kepada penduduk Malaysia yang ketika ini pada 1: 170 iaitu masih jauh ketinggalan berbanding 1:100 di negara-negara maju. 

Ada laporan menjelaskan 35 peratus jurutera muda berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan. 

ANTARA wakil-wakil pelbagai persatuan profesional di bawah Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) yang terlibat dalam penganjuran bengkel, baru-baru ini.

BIM mempunyai 23 badan profesional iaitu Institut Jurutera Malaysia (IEM), Institut Kimia Malaysia (IKM), Institut Pertanian Malaysia (AIM), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Persatuan Ahli Farmasi (MPS), Institut Diraja Juruukur Malaysia (RISM), Institut Perancang Malaysia (MIP), Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia  (MAVMA), 

Selain itu Institut Rimbawan Malaysia (IRIM), Persatuan Pekerja Sosial Malaysia (MASW), Institut Plastik dan Getah Malaysia (PRIM), Persatuan Sains Tanah Malaysia (MSSS), 

Institut Piagam Institut Bangunan Malaysia (CIOBM), Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM), Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM), Institut Piagam Pengangkutan dan Logistik (CILTM), Institut Pengurusan Ladang Antarabangsa (IIPM), Persatuan Optometris Malaysia, Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM), Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Persatuan Penilaian Impak Sosial Malaysia (MASIA) dan Persatuan Perunding Juruukur Bahan Malaysia (ACQSM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN