Sanusi mohon tarik pertuduhan hasutan libat Sultan Selangor - Utusan Malaysia

Sanusi mohon tarik pertuduhan hasutan libat Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memohon supaya menarik semula pertuduhan menghasut yang melibatkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Perkara itu dimaklumkan peguam beliau, Awang Armadajaya Awang Mahmud kepada Mahkamah Tinggi di sini, ketika prosiding pengurusan kes representasi, petang ini.

Menurut Awang Armadajaya, anak guamnya itu telah menulis surat untuk memohon keampunan Sultan Sharafuddin.

“Justeru, saya menerusi arahan anak guam memohon supaya satu pertuduhan berkaitan Sultan Selangor ditarik balik.

“Saya difahamkan bawah baginda sudah berkenan memberi keampunan dan kemaafan,” katanya.

Pada prosiding itu, peguam pemerhati Sultan Selangor, Datuk Seri Salehuddin Saidin mengesahkan kenyataan Sultan Selangor yang memaafkan Muhammad Sanusi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) masih mempertimbangkan representasi kedua yang dikemukakan bagi membatalkan dua pertuduhan menghasut.

“Kami memohon tempoh sebulan kerana reprentasi ketika ini masih lagi dalam pertimbangan lanjut AGC.

“Justeru, kami memohon sebutan tarikh pengurusan kes bagi kedua-dua pertuduhan itu,” katanya.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin kemudian menetapkan 25 Oktober depan bagi sebutan kes berkenaan.

Berdasarkan dua pertuduhan, Muhammad Sanusi, 50, didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, kira-kira pukul 11 malam ,11 Julai 2023.

Justeru, beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan Muhammad Sanusi kali pertama membuat permohonan ampun secara terbuka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan kenyataan beliau yang didakwa menghina baginda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN