Saman pengusaha ternakan ikan sungai terhadap Media Mulia ditolak - Utusan Malaysia

Saman pengusaha ternakan ikan sungai terhadap Media Mulia ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini menolak tuntutan saman seorang pengusaha perniagaan ternakan ikan sungai di Perak terhadap Media Mulia Sdn. Bhd. berhubung artikel yang didakwa berunsur fitnah, dua tahun lalu.

Hakim Sazlina Safie menolak saman dikemukakan Mariah Ghazali terhadap syarikat penerbitan akhbar ini dan memerintahkannya membayar kos RM20,000.

Mariah selaku plaintif yang juga pemilik tunggal Marzamri Resources beralamat di Kampung Bidara, Bukit Chupak, Parit menamakan Media Mulia sebagai defendan dalam tuntutan saman tersebut.

Dalam keputusan yang diumumkan pada 28 Jun lalu, mahkamah berpuas hati artikel bertarikh 22 Julai 2022 dan 9 Ogos 2022 tidak berunsur fitnah sebaliknya merupakan fakta benar yang diakui Mariah selaku saksi plaintif pertama (SP1).

Sazlina berpuas hati, Mariah dalam keterangannya mengaku bahawa warga Kemboja menjalankan penternakan ikan secara berleluasa di kawasan itu tanpa mengikut undang-undang, mencemarkan sungai, menawarkan harga lebih rendah selain memonopoli pasaran ikan sangkar di Perak.

Hakim turut berpendapat, plaintif gagal membuktikan bahawa gambar bangsal yang disiarkan dalam artikel itu merujuk kepadanya.

“SP1 bersetuju bangsal dan sangkar tersebut tidak mempunyai sebarang logo Marzamri Resources atau wajah SP1 mahupun tanda perniagaan yang boleh mengaitkan pembaca merujuk kepadanya.

“Penerbitan tersebut merujuk kepada fakta yang betul dan disahkan, bukan memfitnah atau merujuk kepada plaintif. Ia dibuat atas dasar tanggungjawab defendan melaporkan isu yang benar berlaku.

“Laporan tersebut dibuat dengan baik dan menyeluruh selepas `turun padang’ untuk mendapatkan pandangan penduduk tempatan yang terkesan,” demikian menurut penghakiman bertulis bertarikh 30 Ogos lalu yang diperoleh pihak media daripada laman web mahkamah, hari ini.

Artikel bertajuk `Warga Kemboja kuasai pasaran ikan air tawar’ itu disiarkan dalam laman sesawang Utusan Malaysia dan laman sosial Facebook pada 25 Julai 2022 yang antara lain mendakwa penggunaan perut ayam sebagai makanan ikan menyebabkan pencemaran sungai dan bau busuk.

Artikel kedua bertajuk `Sangkar ikan disewa warga Kemboja’ disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 9 Ogos 2022. Plaintif mendakwa, kedua-dua artikel mengguna pakai gambar bangsal dan sangkar ikan miliknya.

Dalam tuntutan saman itu, Mariah mendakwa, penyiaran dan penerbitan dalam akhbar Utusan Malaysia, laman sesawangnya serta akaun Utusan Online di aplikasi Facebook mengandungi pernyataan memfitnah.

Wanita itu menyatakan, penerbitan artikel itu disertai dengan gambar bangsal dan sangkar ikannya, boleh diakses secara umum oleh jutaan rakyat negara ini khususnya rakan industri perikanan.

Ujar Mariah, kata-kata yang dirujuk dalam penerbitan itu difahamkan membawa maksud bahawa dia seorang pendatang asing tanpa izin dari Kemboja dan visanya telah tamat tempoh.

Menurut Mariah, artikel itu juga antara lain membawa maksud dia memujuk penduduk tempatan yang memiliki tanah supaya membenarkannya mengoperasikan perniagaan penternakan ikan dan akuakultur secara haram di situ.

Ujarnya, artikel itu juga didakwa membawa maksud plaintif mengoperasikan perniagaan penternakan ikan dan akuakultur dengan cara kotor melalui penggunaan perut ayam berbanding penggunaan pellet sehingga mencemarkan Sungai Perak.

Menurut Mariah, meskipun plaintif melalui peguam caranya menghantar notis tuntutan agar penerbitan itu dipadam dan syarikat tersebut membuat permohonan maaf, defendan masih enggan berbuat demikian hingga kini.

Plaintif antara lain menuntut ganti rugi keseluruhan berjumlah RM500,000 dan injunksi menghalang defendan menerbitkan atau menyebabkan ayat atau gambar berunsur fitnah terhadap plaintif.

Media Mulia dalam pembelaannya menegaskan, artikel berkenaan menyentuh kepentingan awam dan tidak terhad kepada isu warga Kemboja yang menguasai pasaran ikan air tawar di Perak.

Syarikat ini turut menyatakan, artikel berkenaan merupakan hasil temubual dengan penternak ikan yang enggan namanya disiarkan selain pengesahan pihak berkuasa berhubung aktiviti berkenaan yang dikuasai warga asing.

Defendan turut menyatakan, kegiatan penternakan ikan oleh warga Kemboja tidak mematuhi peraturan kerana pembuangan guni bekas perut ayam ke dalam sungai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya