SIPITANG: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih memerlukan kerjasama parti nasional dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah belum dapat mengikut jejak Sarawak untuk membentuk kerjasama politik yang hanya membabitkan parti tempatan.
Beliau berkata, kerjasama antara GRS-Pakatan Harapan (PH) Plus yang membentuk kerajaan negeri ketika ini adalah susunan kerjasama yang sudah sedia ada dan akan dikekalkan pada PRN nanti.
“Dalam politik kita mesti kerjasama dengan rakan kita dan inilah kita dalam GRS sekarang, kita mesti satu hati. Kita juga mesti bekerjasama dengan parti nasional yang sudah ada di Sabah sekarang.
“Inilah ‘set up’ (susunan) kita di Sabah. Kita belum dapat macam Sarawak. Suka atau tidak, inilah keadaan kita di Sabah. Apa yang penting adalah kita kukuhkan perpaduan dalam kalangan GRS dengan rakan PH dan lain-lain,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin di Dataran QSS, Sipitang semalam.
Presiden GRS berkata, sekiranya mereka bekerjasama dan tiada unsur sabotaj dalam kalangan mereka maka, beliau yakin GRS boleh menang mudah pada PRN akan datang.
Mengulas lanjut katanya, ahli-ahli Gagasan Rakyat termasuk di Sindumin perlu memastikan parti tersebut terus diperkukuhkan di samping menjaga hubungan kerjasama dengan rakan-rakan dalam GRS dan parti nasional.
Kenyataan Hajiji itu berbeza dengan kenyataan beberapa pemimpin GRS yang sebelum ini lantang menyuarakan hasrat untuk melihat hanya parti tempatan bertanding di Sabah manakala, parti nasional pula tidak sepatutnya bertanding.
Antara pemimpin GRS yang menolak agar parti nasional bertanding di Sabah adalah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee.
Sebelum ini, Jeffrey menolak untuk parti nasional bertanding di Sabah kerana parti nasional telah pun memiliki kerusi Parlimen. Maka, biarkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi oleh parti tempatan.