KUANTAN: Orang ramai yang ingin berkunjung ke Pahang ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) bermula Oktober dan sehingga Februari tahun depan dinasihatkan supaya merujuk maklumat ramalan dan amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) terlebih dahulu sebelum merangka percutian ke negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan,
Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man berkata, orang ramai juga diingatkan mematuhi notis dikeluarkan daripada semasa ke semasa, antaranya oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang jika ingin melakukan aktiviti berkaitan pendakian.
Bagaimanapun katanya, masih terdapat beberapa tempat yang boleh dikunjungi di negeri ini ketika musim MTL.
“Memang kita sedia maklum bahawa kita berada di Pantai Timur, jadi Oktober hingga Februari adalah musim monsun. Bagaimanapun, bukan semua tempat pelancongan tutup dan memang ada sesetengah tempat pelancongan yang tidak sesuai untuk pengunjung.
“Jadi kita berharap pengunjung merujuk notis-notis daripada agensi berkaitan sebab kekuatan kita adalah eko-pelancongan dan orang ramai boleh mematuhi arahan dikeluarkan daripada semasa ke semasa,” katanya selepas merasmikan Festival Moh Ngopi Pahang 2.0 2024 bertempat di Old Garage Cafe di sini semalam.
Mengulas tentang festival berkenaan, Yu Man berkata, kerajaan negeri melalui Tourism Pahang berhasrat menjadikan Pahang sebagai hab mengumpulkan penggemar-penggemar kopi seluruh negara.
Menurutnya, penganjuran festival terbabit yang bermula semalam dan berakhir esok itu dilihat mampu menarik kedatangan pelancong dalam kalangan peminat kopi sekali gus menyumbang kepada ekonomi masyarakat setempat. – UTUSAN