Rokok UAE antara rokok seludup bernilai RM1.2 juta dirampas JKDM Pahang - Utusan Malaysia

Rokok UAE antara rokok seludup bernilai RM1.2 juta dirampas JKDM Pahang

MOHD ASRI Seman (tengah) bersama pegawai JKDM negeri menunjukkan rokok seludup yang dirampas di Taman Perindustrian Tanjung Minyak Perdana di Melaka selepas sidang akhbar di Pejabat JKDM Bentong di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Rokok dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) antara rokok seludup keseluruhannya berjumlah RM1.2 juta termasuk duti yang dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam serbuan di sebuah premis di Taman Perindustrian Tanjung Minyak Perdana di Melaka.

Rokok jenama UR dan D&J yang dikatakan untuk pasaran Jerman itu merupakan rokok berkualiti dilengkapi butang ‘switch’ yang boleh ditekan untuk menikmati rasa segar semasa menghisapnya.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd. Asri Seman berkata, hasil maklumat awam, pihaknya melakukan serbuan pada pukul 10.30 malam 27 Ogos lalu dan merampas 1,812,000 batang rokok serta sebuah lori dengan nilai rampasan keseluruhan kira-kira RM1.5 juta.

“Hasil pemeriksaan dalam premis terbabit, anggota kita menemukan rokok pelbagai jenama disyaki tidak berkastam dan sebuah lori bermuatan rokok.

“Tiada tangkapan dilakukan semasa serbuan dan kita masih mengesan pemilik premis dan lori serta menyiasat rangkaian sindiket pengedaran rokok-rokok tidak berkastam yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Bentong di sini hari ini.

Menurut Mohd. Asri, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya rokok seludup itu yang dipercayai berasal dari UAE, Indonesia dan Vietnam untuk pasaran sekitar Melaka.

Jelasnya, siasatan mendapati modus operandi sindiket dengan menggunakan premis perniagaan untuk menyimpan barang tidak berkastam dan menggunakan lori bagi bergerak aktif pada waktu puncak bertujuan mengaburi pihak berkuasa.

Menurutnya, pada masa ini pihaknya juga masih menyiasat rangkaian dan tempoh operasi sindiket tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 sehingga tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau menyeru orang awam untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi pejabat JKDM terdekat atau menghubungi talian 1-800-88-8855. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya