RM125.2 juta untuk lestari pendidikan di Kelantan

RM125.2 juta untuk lestari pendidikan di Kelantan

MOHD. Nassuruddin Daud (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar negara di Dewan Besar, YIK Tunjong, Kota Bharu, Kelantan hari ini.- UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sejumlah RM12.5 juta diperuntukan oleh Kerajaan Kelantan dalam usaha melestarikan pendidikan di negeri ini menerusi Belanjawan 2024.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, peruntukan melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) bertujuan memastikan pelajar bawah kendalian agensi itu terus membangunkan modal insan berwawasan akhirat seterusnya melakar kejayaan ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, kerajaan meletakkan kepentingan pendidikan sebagai fokus utama dalam pentadbiran negeri menerusi peruntukan tersebut.

“Ia merangkumi program-program kecemerlangan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta mereka yag lanjut pengajian di luar negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kecemerlangan Peperiksaan dan Pelajar ke Timur Tengah serta Perasmian Program Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan 2024 di Dewan Besar, YIK Tunjong di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai 98 pelajar lelaki dan perempuan lepasan SPM, STAM, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat, Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) masing-masing menerima RM500 hasil sumbangan Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin).

Dalam perkembangan lain, Mohd. Nassuruddin memberitahu, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara percuma mellibatkan 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula pada bulan depan.

Katanya, ia melibatkan pelajar sekolah menengah yang memerlukan bantuan
tambahan dalam pelajaran, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Tuisyen tersebut berjalan selama tiga bulan dengan melibatkan tenaga pengajar yang bertauliah. Setiap DUN akan menerima RM10,600 untuk tujuan berkenaan. Setiap kelas hanya diperuntukkan kepada 30 orang pelajar sahaja.

“Program ini menawarkan mata pelajaran teras SPM iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN