Representasi Adam Radlan ditolak, bicara bersambung

Representasi Adam Radlan ditolak, bicara bersambung

ADAM RADLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad untuk menyemak semula atau menggugurkan lima pertuduhan rasuah berhubung projek Jana Wibawa dan tujuh kes pengubahan wang haram (AMLA).

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes semalam di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Peguam bela, Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan, 43, kemudian memaklumkan kepada mahkamah pihaknya bersedia meneruskan soal balas saksi pertama pendakwaan.

“Representasi yang dikemukakan adalah untuk mencadangkan penyelesaian kes tersebut tetapi tidak dapat didedahkan secara terperinci,” katanya.

Suzana kemudian menetapkan kes Adam Radlan dibicarakan pada 13 November seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Pada 9 Julai lalu, pembelaan memaklumkan pihaknya telah menghantar representasi berkenaan selepas saksi, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), R. Harshini selesai memberi keterangan pada pemeriksaan utama.

Adam Radlan didakwa meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy.

Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Adam Radlan juga menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Tian Chuan dan Mat Jusoh sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Tian Chuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN