Remaja mengaku salah tunggang motosikal lawan arus, datangkan cedera pada polis - Utusan Malaysia

Remaja mengaku salah tunggang motosikal lawan arus, datangkan cedera pada polis

SEORANG remaja yang terlibat merempuh seorang anggota polis trafik hadir ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini dengan berkerusi roda bagi berdepan pertuduhan menunggang motosikal secara melulu serta melawan arus sehingga menyebabkan kecederaan parah ke atas anggota polis pada Julai lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang remaja mengaku bersalah atas pertuduhan menunggang motosikal secara melulu serta melawan arus sehingga menyebabkan kecederaan parah ke atas anggota polis di Kilometer 36 (Arah Selatan), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) di sini, hujung bulan Julai lalu.

Tertuduh berusia 17 tahun dan masih bersekolah hadir dengan berkerusi roda ke Mahkamah Majistret Seremban dan ditemani keluarga.

Dalam prosiding yang dilaksanakan secara tertutup itu, tertuduh membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Marlissa Mohd. Fahmy.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR telah menunggang kenderaan tersebut melulu dan berbahaya kepada orang awam di atas jalan raya secara melawan arus sehingga menyebabkan kecederaan parah ke atas Koperal, Muhamad Aliff Adi, 36.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2 pagi pada 28 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd. Radzuan memohon satu tarikh sebutan fakta kes dan hukuman selain laporan akhlak berikutan tertuduh masih di bawah umur.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya merayu bagi wang jaminan yang rendah berikutan bapanya mempunyai banyak tanggungan.

Majistret kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin iaitu sama ada ibu atau bapa serta kes disebut semula pada 20 November ini.

Pada 28 Julai lalu, media melaporkan seorang anggota polis yang sedang melakukan tugas Op Samseng Jalanan di Kilometer 36 (Arah Selatan) Lekas di sini, cedera selepas motosikalnya dirempuh semasa bertugas.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, anggota terbabit yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sedang melakukan tugas operasi bersama beberapa anggota yang lain.

Kata beliau, akibat kemalangan itu, kesemua mangsa mengalami kecederaan di kaki dan kepala dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk menerima rawatan.

Difahamkan, anggota polis trafik berkenaan kini bergelut dengan simptom kehilangan memori akibat nahas tersebut dan masih menjalani cuti sakit.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya