Reformasi pendidikan perlu berperingkat, tidak drastik - MBM

Reformasi pendidikan perlu berperingkat, tidak drastik – MBM

MOHD IZZAT AFIFI ABD HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Belia Malaysia (MBM) sedia bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan usaha reformasi pendidikan dapat dilaksanakan secara cermat dan berhemah.

Presiden MBM, Mohd. Izzat Afifi Abd Hamid berkata, bentuk rombakan kepada sistem pendidikan harus dibuat secara berperingkat dan tidak drastik.

Beliau berkata, proses reformasi sistem pendidikan negara harus menekankan soal nilai teras pendidikan bukannya pada pentaksiran semata-mata.

Katanya, ia sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan seimbang dan holistik.

“Sebarang bentuk perubahan dalam sistem pendidikan negara haruslah mengambil kira kesediaan guru, pentadbir dan murid yang sudah pasti merupakan kelompok yang paling terkesan dengan apa sahaja bentuk perubahan dalam ekosistem pendidikan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terkait cadangan rombakan secara bersepadu terhadap sistem pendidikan negara.

Menurut laporan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melihat secara positif cadangan berikut serta bersetuju bahawa dasar tersebut perlu dirombak bagi menambah baik sistem pendidikan negara.

Justeru, kata Mohd. Izzat, MBM yakin anjakan perubahan dalam sistem pendidikan negara akan berlaku secara sistematik dengan pewujudan enam pasukan khas bagi memperkasakan haluan pendidikan negara.

“(Selain itu) penggubalan pelan baharu bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang bakal berakhir pada tahun 2025 dan penggubalan Kurikulum Baharu Pendidikan 2027,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN