Rakyat Malaysia kalah judi di luar negara minta bantuan kerajaan langsai hutang

Rakyat Malaysia kalah judi di luar negara minta bantuan kerajaan langsai hutang

SAIFUDDIN Nasution Ismail (dua kiri) semasa hadir merasmikan Majlis Perasmian Baitul Mahabbah Tanah Merah Jabatan Imigresen di Depot Imigresen Tanah Merah, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan ada dalam kalangan rakyat tempatan yang kalah berjudi di luar negara meminta bantuan kerajaan untuk melangsaikan hutang mereka.

Beliau berkata, hal ini kerana mereka membuat pinjaman dengan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau along di negara tersebut selepas kalah berjudi.

“Apabila terlibat judi dan along, mereka telefon kita (kerajaan) untuk membantu. Kita membantu bayar hotel mereka di luar negara sahaja, hutang itu perlu diselesaikan sendiri.

“Rakyat Malaysia yang terlibat dengan kes-kes jenayah rentas sempadan (termasuk kes judi) dikesan berlaku di kawasan sempadan Thailand dan Myanmar,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Baitul Mahabbah Tanah Merah Jabatan Imigresen di Depot Imigresen Tanah Merah di sini hari ini.

Saifuddin Nasution memberitahu, isu jenayah rentas sempadan dilihat sangat dinamik kerana ramai rakyat negara ini yang terbabit.

Katanya, pihak kementerian juga mempunyai senarai individu yang sudah dan sedang diselamatkan.

“Ada rakyat Malaysia yang sudah selamat dan dibawa pulang, tetapi mereka pergi semula ke sana. 

“Terdapat juga kes mereka pergi sendiri untuk berjudi di luar negara tanpa melalui sindiket. Apabila tidak dapat pulang mereka minta bantuan kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, isu jenayah rentas sempadan merupakan antara perkara yang dibincangkan ketika beliau menghadiri Persidangan Menteri ASEAN di Laos pada minggu lalu.

Katanya, selain pemerdagangan manusia, isu jenayah sempadan lain seperti dadah dan senjata api turut dibincangkan dalam persidangan itu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN