Rakan Muda Mudi Perlis meriah, saji pengisian menarik ikut 10 gaya hidup - Utusan Malaysia

Rakan Muda Mudi Perlis meriah, saji pengisian menarik ikut 10 gaya hidup

MUSA Salim (berdiri, kiri) dan Fauzi Abdullah Saleh (kanan) meninjau aktiviti e-sport yang dilaksanakan bersempena dengan Program Rakan Muda Mudi Perlis@Kangar Street Art, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Program Rakan Muda Mudi Perlis@Kangar Street Art anjuran Jabatan Belia dan Sukan negeri berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian program menarik disediakan buat pengunjung.

Penganjuran program selama dua hari bermula semalam itu dilaksanakan mengikut 10 gaya hidup Rakan Muda iaitu Rakan Aktif, Rakan Demokrasi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Litar, Rakan Mahir, Rakan Muzik, Rakan Niaga, Rakan Bumi dan Rakan Prihatin.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Musa Salim berkata, terdapat beberapa pengisian menarik telah diatur dalam penganjuran program berkenaan antaranya seperti Fun Walk, E-Sports, Catur, Tenpin Boling, Art&Craft dan pelbagai lagi.

“Semua aktiviti yang dijalankan di bawah program ini telah disusun dengan baik bagi memberi pengisian manfaat kepada golongan muda dan pengunjung,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Musa berkata, penganjuran program berkenaan adalah merupakan antara usaha bagi memperkukuhkan inisiatif Rakan Muda yang telah diberi nafas baharu bersesuaian dengan minat generasi muda masa kini.

Selain itu, beliau berkata, penambahan gaya hidup baharu seperti Rakan Demokrasi juga dapat memberi ruang pendedahan dan pengetahuan kepada anak muda berhubung aspek kenegaraan.

“Pengisian aktiviti yang kita selitkan dalam program dilaksanakan ini juga adalah mengikut 10 gaya hidup itu bagi mengaktifkan lagi inisiatif Rakan Muda ini,” katanya.

Dalam program sama, Musa berkata, Jabatan Belia dan Sukan negeri turut berkesempatan membuat Pra Pelancaran Hari Sukan Negara (HSN) 2024 Peringkat Negeri Perlis yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling.

Katanya, pelaksanaan majlis pra pelancaran itu adalah bertujuan bagi mempromosi HSN 2024 yang akan berlangsung pada 11-13 Oktober depan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini.

“Kita sasarkan sekurang-kurangnya 35,000 rakyat Perlis bersukan pada hari tersebut bagi merancakkan penganjuran HSN 2024 nanti.

“Oleh itu, seluruh masyarakat bersama entiti atau badan bukan kerajaan (NGO) diharap dapat melaksanakan aktiviti sukan pada hari berkenaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN