Pulau Ketam juara Pesta Air Kuala Perlis

Pulau Ketam juara Pesta Air Kuala Perlis

AKSI pasukan yang bertanding dalam pertandingan perahu panjang sempena Pesta Air Kuala Perlis 2024 di Kuala Perlis, semalam. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pesta Air Kuala Perlis 2024 yang berlangsung empat hari dan berakhir semalam menyaksikan pasukan dari Kampung Pulau Ketam dinobatkan sebagai juara keseluruhan sekali gus memberi keceriaan kepada seluruh penduduk kampung berkenaan.

Kampung itu juga mengungguli pertandingan perahu panjang apabila memenangi kategori perahu tradisi 14 selain muncul naib juara bagi acara perahu tradisi 12.

Kategori perahu tradisi 12 pula dimenangi Kampung Tandiap manakala Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) muncul juara bagi kategori perahu fiber 20.

Bagi acara sukan rakyat membabitkan pertandingan keceriaan kampung dimenangi Kampung Tengah, acara pukul bantal dimenangi Kampung Tanah Baru, tiang licin dimenangi Taman Wai Permai dan acara menjala ikan diungguli oleh Kampung Seberang Alor.

Sudah pastinya, pertandingan perahu panjang membabitkan kampung-kampung dari Kuala Perlis di sini antara paling menarik perhatian sempena Pesta Air Kuala Perlis itu.

Dapat dilihat suasana di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis meriah dengan sorakan ribuan pengunjung termasuk penduduk yang mewakili setiap kampung yang setia berada di tepi-tepi muara sungai di sini bagi memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.

Sebanyak 15 kampung menyertai pesta air tahun ini membabitkan Kampung Seberang Tok Pi, Kampung Bahagia, Kampung Belakang Kilang, Kampung Bukit Papan, Kampung Kurung Tengar, Kampung Nelayan, Kampung Tanah Baru, Kampung Bukit Tok Po, Kampung Baru Seberang, Kampung Tandiap, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Tengah, Kampung Seberang Alor, Kampung Pulau Ketam dan Taman Wai Permai.

Turut menyertai pertandingan perahu panjang tersebut ialah enam agensi serta jabatan termasuk peserta dari negara jiran iaitu dari Puju, Thailand yang melibatkan kategori seperti perahu tradisi 12, perahu tradisi 14, perahu fiber 20 selain perahu berhias.

Pesta Air Kuala Perlis 2024 yang bermula 12 sehingga 15 September itu dianjurkan kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Perpaduan dan Integrasi Nasional.

Abu Bakar berkata, pesta air itu sangat unik yang hanya terdapat di Kuala Perlis dan tradisi tersebut akan terus dipertahankan.

Katanya, para peserta yang mewakili pasukan dari kampung-kampung sekitar Kuala Perlis mempamerkan kayuhan luar biasa sehingga tiba di garis penamat.

“Selama hampir sebulan ini, di mana setiap petang kami warga Kuala Perlis dari setiap kampung menjalani latihan dan persediaan di muara sungai Kuala Perlis ini bagi menyertai pertandingan perahu panjang sempena Pesta Air Kuala Perlis ini.

“Pesta air ini umpama perayaan di Kuala Perlis malah mereka yang berada di luar negeri ini juga akan pulang ke kampung halaman bagi tidak melepaskan peluang menyaksikan pesta berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN