ISKANDAR PUTERI: Produk tradisional masyarakat Batam dan Pulau Karimun, Indonesia antara yang boleh didapati di Festival Majestic Johor 2024 yang berlangsung di Puteri Harbour, di sini.
Antara produk tersebut, batik asli, songket, beg anyaman tradisional, kerepek dendeng, sambal dan pelbagai barangan kraftangan.
Pengusahanya, Shofar Fitrotul Alamin, 39, dari Batam berkata, ini merupakan kali pertama dia membuka gerai jualan di Malaysia sepanjang lebih 10 tahun menjadi peniaga produk industri kecil dan sederhana (IKS).
“Alhamdulillah, saya gembira kerana dapat terlibat dalam festival ini. Pengunjung di sini memberikan maklum balas yang baik, apatah lagi Johor dan Batam berkongsi pelbagai persamaan seperti budaya dan bahasa.
“Saya juga teruja kerana selain menjual produk sendiri, saya juga dapat mempelajari produk dan budaya tempatan di Johor ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dia yang merupakan ahli Koperasi dan Usaha Mikro Kota Batam berhasrat berkunjung lagi ke negeri ini bagi mempromosikan pelbagai produk tempatan selain turut membina hubungan kerjasama dengan pengusaha IKS tempatan.
Sementara itu, seorang usahawan IKS dari Pulau Karimun, Anggita Aditya, 32, mengakui penyertaannya dalam Festival Majestic Johor 2024 sebagai usaha serampang dua mata, iaitu selain memperkenalkan produk tempatan, dia turut memperkenalkan pelbagai lokasi menarik di tempat asalnya.
“Jadi, saya turut ambil kesempatan untuk mempromosikan lokasi pelancongan dan aktiviti menarik yang boleh dilakukan sekiranya ada pihak berminat untuk melancong ke sana,” katanya.
Shofar dan Anggita merupakan sebahagian daripada pengusaha IKS dari Indonesia yang turut membuka gerai jualan di festival yang berlangsung selama lima hari itu.
Festival Majestic Johor 2024 yang berlangsung sejak 28 Ogos lalu hingga semalam merupakan edisi ketiga penganjurannya dengan menyasarkan kehadiran seramai 600,000 pengunjung. – UTUSAN