PRK Mahkota: Tiada istilah kubu kuat mana-mana parti

PRK Mahkota: Tiada istilah kubu kuat mana-mana parti

TAKIYUDDIN Hassan (kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang acara larian Kota Bharu Half Maraton (KBHM) di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas melihat tiada mana-mana parti yang boleh melabelkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor sebagai kubu kuat mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 28 September ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, hal ini kerana dalam politik apa-apa sahaja boleh berlaku walaupun di atas kertas ia dilihat berpihak kepada kumpulan tertentu.

“Tetapi cita rasa, pendirian rakyat yang menjadi pengundi tiada siapa boleh meneka. Sebarang kemungkinan boleh berlaku pada PRK nanti.

“Bagi saya tidak boleh katakan kubu kuat mana-mana parti. Kita tengok apa yang berlaku sebelumini pun, keadaan itu boleh berubah,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada program Kota Bharu Half Maraton (KBHM) di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), di sini hari ini.

Takiyuddin memberitahu, semua jentera di bawah Perikatan Nasional (PN) baik Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan sememangnya bergabung untuk memberikan kemenangan pada PRK itu nanti.

“Pada PRK itu nanti Bersatu akan mewakili. Siapa calon kita akan bincang dan putuskan dalam masa terdekat,” ujarnya.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merupakan bekas Ketua Wanita UMNO Johor dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 dengan majoriti 5,166 undi.

SPR menetapkan hari pengundian pada 28 September, manakala hari penamaan calon dan pengundian awal, masing-masing pada 14 dan 24 September. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN