KULAI: Kementerian Komunikasi tidak menerima laporan melibatkan kesalahan berkaitan isu agama, bangsa dan raja (3R) sepanjang minggu pertama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berharap keadaan itu akan kekal sehingga tamat PRK berkenaan pada 28 September ini.
“Saya belum terima aduan spesifik tentang kesalahan 3R setakat ini. Masing-masing adakan kempen secara baik dan saya harap perkara ini akan berterusan.
“Semua pihak diingatkan untuk terus menjaga adab.Tindakan provokasi (ketika berkempen) itu biasa, tetapi tiada isu-isu yang terlampau lagi, mungkin juga kerana kita berada di Johor,” katanya ditemui selepas melawat tapak infrastruktur komunikasi Jendela Fasa 1 di Felda Inas, di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai mengingatkan semua pihak supaya tidak menggunakan nama Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain sebagai bahan kempen.
“Ini kerana ada pihak-pihak menggunakan nama arwah (ketika berkempen). Walaupun ia tidak menyentuh isu 3R, tetapi kita perlu menjaga adab. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku bagi menjaga perasaan dan sensitiviti waris penyandang kerusi DUN berkenaan,” jelasnya.
Rabu lalu, anak sulung Allahyarham Sharifah Azizah, Wan Mohd. Hibatullah Abu Bakar mempersoal kenyataan Timbalan Pengarah Operasi Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa berkenaan majlis tahlil khas yang akan diadakan didakwa dengan kerjasama keluarga Allahyarhamah.
Wan Mohd. Hibatullah dilaporkan memberitahu perkara itu tiada dalam pengetahuan ahli keluarga.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah dan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar. – UTUSAN