KLUANG: Sanggup beratur seawal 7.20 pagi walaupun pusat mengundi hanya dibuka pukul 8 pagi hanya kerana ingin menjadi pengundi pertama dan terawal menunaikan tanggungjawab pada PIlihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, hari ini.
Chow Wei Xiong, 39, berkata, kedudukan rumahnya yang hanya 50 meter dari pusat mengundi di Sekolah Agama Kluang Barat di Taman Ilham membolehkannya menjadi orang pertama beratur.
Walaupun mengetahui pusat mengundi hanya dibuka pukul 8 pagi, namun demi tanggungjawab sebagai seorang pengundi dia datang awal bagi memilih wakil rakyat baharu bagi DUN Mahkota, hari ini.
Sementara itu, Shikin Alimom, 34, yang menghantar ibunya sebagai petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membolehkannya menjadi pengundi awal beratur di pusat mengundi tersebut.
“Cuaca dijangka hujan pada waktu petang membuatkan saya mahu mengundi awal,” katanya.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.
PRK tersebut menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar. – UTUSAN