KLUANG: “Jadi pemimpin yang baik, amanah dan disayangi rakyat.”
Itu pesanan Syed Abdullah Syed Abdul Hamid yang akan diingati dan menjadi pemangkin semangat anaknya, Syed Hussien, 40, yang dicalonkan mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.
Malah, amanat terakhir ayahnya itu akan dijadikan azimat untuk menjadi pemimpin pada masa akan datang, khususnya jika terpilih sebagai wakil rakyat di DUN Mahkota.
Syed Hussien mengakui tidak menyangka, hanya beberapa jam selepas diumumkan sebagai calon BN dalam PRK Mahkota, ayahnya terpaksa dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) dan ditidurkan akibat masalah jantung yang dihidapi.
“Selepas kira-kira 48 jam ditidurkan, abah akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir untuk menemui Penciptanya,” katanya ketika ditemui usai pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, di sini hari ini.
Menurut Syed Hussien yang juga anak kedua daripada lima beradik, pemergian ayahnya itu tidak sedikit pun melemahkan semangatnya untuk terus berjuang memenangi pilihan raya tersebut.
Sebelum itu, Syed Abdullah Syed Abdul Hamid dimasukkan ke hospital pada Ahad dan terpaksa ditidurkan sebelum disahkan meninggal dunia pukul 7.20 malam tadi.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu. – UTUSAN