PRK Mahkota: Peniaga jangan ambil kesempatan naikkan harga - Utusan Malaysia

PRK Mahkota: Peniaga jangan ambil kesempatan naikkan harga

LILIS SASLINDA Pornomo (kanan) beramah mesra dengan orang ramai yang membeli barangan sempen Program Jualan Rahmah di Stadium MBPG, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Para peniaga dan di kawasan Dewan Undangan Negeri DUN Mahkota, Kluang diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan menaikkan harga jualan mereka.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup negeri, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang berbuat demikian.

Menurutnya, seramai 200 pegawai penguat kuasa akan membuat pemantauan secara harian di seluruh negeri, termasuk di kawasan DUN Mahkota.

“Setakat ini kita tidak terima aduan kenaikan harga barangan di DUN Mahkota. Namun jika ada, tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011. Justeru, peniaga dan pedagang di DUN Mahkota, juga di kawasan-kawasan lain diingatkan untuk menjalankan perniagaan dengan beretika serta mematuhi undang-undang.

“Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas kerana selama ini pelbagai langkah advokasi dan pemberitahuan telah dibuat,” katanya ditemui selepas meninjau Program Jualan Rahman (PJR) Madani di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, manakala hari penamaan calon dan pengundian awal pada 14 dan 24 September.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Dalam pada itu, Lilis Saslinda memaklumkan lebih 100,000 penduduk negeri ini menerima manfaat daripada pelaksanaan PJR sepanjang tahun lalu.

“Bagi program sehari di Pasir Gudang ini, kita sasarkan lebih 10,000 isi rumah akan berbelanja di sini. Program ini dilaksanakan bagi meringankan kos sara hidup rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah. Antara produk dijual ialah beras, telur, minyak masak dan tepung gandum pada potongan harga sehingga 30 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya