KLUANG: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut bersiap-siaga bagi menghadapi kemungkinan situasi banjir semasa berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang bermula hari ini hingga hari pengundian 28 September ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata ,seramai 38 pegawai dan anggota telah bersedia untuk mengatur gerak jika berlakunya banjir ketika waktu kempen mahupun pada hari pengundian dengan aset telah ditempatkan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.
“Bot dan lori kita telah diletakkan di IPD Kluang bersama ‘man power’ dan akan bertindak sekiranya banjir berlaku,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi PRK DUN Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, hari ini
Dalam pada itu, Kumar memaklumkan seramai 1,027 pegawai dan anggota telah ditugaskan bagi menjamin kelancaran proses penamaan calon hari ini bagi memantau dan menjaga keselamatan serta keamanan dengan kehadiran kira-kira 15,000 penyokong Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang bertanding dalam PRK tersebut.
Bagi tempoh berkempen, seramai 772 pegawai dan anggota daripada IPK Johor, IPD Kluang dan IPD yang berhampiran dengan lima unit MPV serta 10 unit URB ditugaskan dalam satu-satu masa.
“Kita juga akan memudah cara proses perjalanan demokrasi tetapi memberikan amaran keras ketika keghairahan berkempen jangan sekali-kali menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) serta mematuhi undang-undang,” katanya.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah dan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 September ini sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal pada 24 September. – UTUSAN