PRK Mahkota: Pasangan pengantin baharu turut mengundi - Utusan Malaysia

PRK Mahkota: Pasangan pengantin baharu turut mengundi

PASANGAN pengantin baharu Nurarissa Shazni Kamal dan Mohammad Hafizzudin Anaffiah menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Agama Gunung Lambak, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Walaupun sibuk melayan tetamu yang hadir, pasangan pengantin baharu, Mohammad Hafizzudin Anaffiah dan Nurarissa Shazni Kamal tetap meluangkan masa untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, hari ini.

Pasangan mempelai tiba di pusat pengundian  di Sekolah Agama Gunung Lambak, di sini pada pukul 3.45 petang.

Kehadiran Nurarissa cantik berbusana putih, manakala suaminya segak memakai sut berwarna coklat cair mencuri tumpuan orang ramai serta petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas di situ.

“Alhamdulillah kami selamat diijabkabulkan pada pukul 9 pagi tadi di rumah keluarga saya di Kampung Melayu di sini. Memang tidak sangka hari bahagia kami sama dengan tarikh mengundi, kami teruskan sebab tak kacau mana-mana dewan.

“Kami selesai bersanding kira-kira pukul 12 tengah hari tadi dan terus bergerak untuk keluar untuk mengambil gambar di luar dan kemudian singgah untuk mengundi,” kata Nurarissa.

Terdahulu, Mohammad Hafizzudin selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Berkongsi kisah cinta mereka, Mohammad Hafizzudin mula mengenali dengan isterinya sejak di bangku sekolah ketika bersekolah di tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Aris Bendahari, di sini.

“Isteri saya bersekolah di SMK Sultan Abdul Jalil, sekolah yang terletak sebelahan,” katanya.

Eksekutif Operasi sebuah syarikat swasta itu berkata, mereka berdua mula menjalinkan hubungan cinta secara serius sejak dua tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN