JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik (Muda) Johor membuat keputusan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, 28 September ini.
Perkara itu diputuskan setelah mengadakan perbincangan di peringkat Jawatankuasa Negeri Muda Johor dan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat.
Muda Johor dalam satu kenyataan memaklumkan, pada masa ini, Muda Johor memilih untuk memberi fokus terhadap siri jelajah ke seluruh daerah di negeri ini.
“Muda mengambil maklum tentang kekosongan kerusi DUN Mahkota di kawasan Parlimen Kluang, susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain. Hasil perbincangan yang telah dilakukan, kami telah membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam (PRK) DUN Mahkota,” demikian menurut kenyataan itu.
Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calonnya, manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan bekas pemain bola sepak Johor FA, Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang juga Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Kluang dalam PRK DUN Mahkota.
Dalam kenyataan sama, Muda Johor memaklumkan siri jelajah itu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan akar umbi dan melaksanakan agenda rejuvenasi parti.
“Tumpuan kami adalah untuk mengembangkan kehadiran parti di setiap kawasan Parlimen dan daerah dalam negeri Johor,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Muda Johor juga akan terus menjadi semak dan imbang dalam memperjuangkan isu-isu setempat yang memberi impak kepada rakyat, dengan menekankan kepentingan memperkasakan suara rakyat di peringkat akar umbi. – UTUSAN