KLUANG: Usia bukan penghalang bagi seseorang untuk menabur bakti kepada rakyat, namun apa yang penting adalah keinginan.
Itu pegangan Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang menjadi taruhan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.
“Usia ini tidak penting, yang paling utama semangat untuk bantu rakyat di kawasan Mahkota.
“Saya akan turun berkempen dekati pengundi di setiap ceruk kawasan di DUN Mahkota selama 14 hari,” katanya mengulas kenyataan segelintir pihak yang mempersoalkan usianya memandangkan lawannya dari Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, jauh lebih muda.
Sebagai bekas pemain dan jurulatih bola sepak, Mohamad Haizan yang popular dengan panggilan ‘Coach Haizan’ mengakui sudah terbiasa dengan jadual yang padat di padang di samping perlu kekal cergas dengan mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat.
Sebagai calon yang buat pertama kali bertanding, beliau mengakui tumpuan lebih perlu diberikan sepanjang kempen dalam PRK tersebut.
“Pada masa sekarang, antara padang bola sepak dan kempen PRK, saya rasa kempen PRK lebih menguji.
“Ini kerana saya bukan hanya berkempen, malah turut menyelami suara hati rakyat. Ia dipermudahkan dengan pengalaman saya yang sudah biasa dengan masyarakat di Kluang,” katanya.
Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kluang itu merupakan bekas pemain bola sepak Johor FA sejak 1982 dan pernah mewakili pasukan dalam kejohanan Piala Razak dan Piala Presiden ketika itu.
Beliau juga memiliki kelulusan Diploma Kecergasan dari Universiti Putra Malaysia (UPM). – UTUSAN