KLUANG: Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar yakin mampu mendekati semua pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, 28 September ini.
Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kluang itu yang dipilih PN untuk merampas kerusi DUN Mahkota dalam PRK pada 28 September ini berterima kasih kepada Presiden Bersatu dan pucuk pimpinan PN kerana memilihnya menjadi calon.
“Terima kasih kerana memberikan kepercayaan kepada saya sebagai calon dalam PRK ini,” katanya.
Pemilihan Mohamad Haizan yang popular dipanggil ‘Coach Haizan’ diumumkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Bilik Gerakan Utama PN PRK DUN Mahkota di Kampung Melayu Dahlia, di sini malam tadi.
Yang turut hadir Pengarah PRK DUN Mahkota, Datuk Seri Azmin Ali; Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Yang Dipertua Pas Johor, Abdullah Husin.
Sementara itu, Sahruddin berkata, jentera PN sudah mula mendampingi rakyat di DUN Mahkota sejak 17 Ogos lalu dan gerak kerja jentera PN dilihat berjalan dengan baik.
Bekas Menteri Besar Johor itu memberitahu, sambutan masyarakat di DUN Mahkota positif terutamanya ketika jentera menyantuni mereka di surau, masjid dan warung.
“Bapa kepada tiga anak itu adalah calon terbaik yang diketengahkan PN dan mampu untuk berkhidmat kepada semua kaum.
“Kita seharusnya kena pastikan gerak kerja kita berjalan dengan tersusun, santuni seberapa ramai masyarakat di DUN Mahkota,” katanya. – UTUSAN