Polis tumpu siasatan Op Global sebelum panggil pihak berkaitan - Utusan Malaysia

Polis tumpu siasatan Op Global sebelum panggil pihak berkaitan

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menumpukan siasatan yang dijalankan buat masa ini menerusi Op Global melibatkan 20 rumah amal dikaitkan GISB di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, fokus utama adalah selesaikan siasatan yang dijalankan setakat ini.

“Kita akan selesaikan siasatan yang ini dulu, apabila dah selesai baru kita akan fikirkan (panggil untuk bantu siasatan),” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan kenyataan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat GISB Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali yang mengakui terdapat beberapa kes liwat berlaku membabitkan individu dalam organisasi berkenaan.

Media semalam melaporkan, Nasirudin mendedahkan kejadian itu cuma satu atau dua kes sahaja.

Menurut Nasiruddin lagi, dakwaan berhubung isu tersebut disifatkan sebagai tidak berasas kerana tidak mempunyai bukti.

“Saya bukan hendak salahkan undang-undang, memang kami ada salah tetapi untuk isu seperti ini, cuba bincangkan dulu. Ini terus tangkap lebih 400 kanak-kanak dan mereka tidak tahu cerita.

“Memang liwat itu ada satu atau dua, tetapi kenapa dirangkumkan semua? Hasil daripada itu juga kata memperdagangkan manusia, eksploitasi kanak-kanak, ini berlaku terlalu pantas langsung tidak ada perundingan,” katanya.

Semalam, Razarudin dilaporkan berkata, kira-kira 39 lagi rumah amal dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di seluruh negara dalam radar pemantauan PDRM setakat ini.

Beliau menegaskan, fasa kedua siasatan yang dilakukan pihaknya termasuk serbuan ke atas 20 rumah amal baru-baru ini adalah hasil pemantauan PDRM berhubung dakwaan ini selama enam bulan.

“Kita telah menyiasat syarikat itu sejak 2011 selain pernah bertemu wakil dari Pusat Penyelidikan Ajaran Sesat (Pukas) walaupun sebelum dakwaan mengenai GISBH tular di media sosial baru-baru ini.

“Mereka antara yang memberikan kami maklumat awal yang memudahkan kami melihat dan teliti semula berasaskan laporan yang dibuat terhadap GISBH sebelum ini,” katanya.

Rabu lalu, polis menyerbu 20 rumah amal masing-masing 18 buah di Selangor dan dua di Negeri Sembilan kerana disyaki terlibat dengan pengabaian serta penganiayaan, amang seksual dan juga perbuatan cabul terhadap kanak-kanak berusia antara satu tahun hingga 17 tahun.

Antara modus operandi yang disyaki dijalankan di premis tersebut adalah mangsa diajar dan dididik cara-cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat pula oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya