Polis tahan seorang lelaki warga asing, rampas 2.27kg dadah - Utusan Malaysia

Polis tahan seorang lelaki warga asing, rampas 2.27kg dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki warga asing ditahan polis dan turut dirampas bersamanya dadah jenis kokain bernilai RM430,000 di tempat letak kenderaan sebuah pangsapuri di Bandar Baru Putra Nilai di sini, petang semalam.

Lelaki berusia 30-an itu merupakan salah seorang suspek yang berjaya ditahan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam operasi khas di sekitar Nilai di sini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, ketika kejadian, polis telah terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza dinaiki dua lelaki warga asing dalam keadaan yang mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Menyedari kehadiran polis, salah seorang suspek telah bertindak agresif dan berjaya melarikan diri manakala seorang lagi suspek telah berjaya ditangkap.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan pula telah menjumpai satu bungkusan warna coklat mengandungi dadah jenis kokain dengan anggaran berat 2,270 gram bernilai RM430,000.

“Turut disita sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza bernilai RM25,000. Jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM455,000,” katanya.

Abdul Malik berkata, semasa melaksanakan proses tangkapan, polis turut telah melepaskan dua das tembakan bagi tujuan mempertahankan diri.

Katanya, permohonan reman terhadap suspek yang berjaya ditangkap telah dibuat di Mahkamah Seremban dan suspek dibenarkan ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Selasa depan. 

“Kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN