Polis siasat kanak-kanak tidur di kaki lima - Utusan Malaysia

Polis siasat kanak-kanak tidur di kaki lima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis membuka kertas siasatan susulan penemuan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang juga anak kepada penghuni di sebuah pangsapuri di Sungai Way, di sini, yang didapati tidur di kaki lima.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, berkata, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurutnya, kanak-kanak terbabit sudah mendapatkan rawatan di hospital dan sedang menunggu laporan doktor sama ada berlaku penderaan atau tidak.

“Setakat ini belum ada tangkapan dilakukan dan kita sedang mendapatkan keterangan doktor.

“Selepas pengesahan laporan perubatan diterima, tindakan selanjutnya akan diambil,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Sementara itu wakil penduduk yang enggan dikenali berkata, dia menyedari kejadian itu pada pukul 4.30 petang Khamis lalu selepas gambar kanak-kanak terbabit tular dalam kumpulan WhatsApp pada malam sebelumnya.

“Penduduk kemudian meminta bantuan saya untuk memeriksa keadaan adik terbabit dan bimbang dengan keselamatannya saya terlebih dahulu membuat laporan polis bagi meminta untuk memeriksanya di kediaman keluarganya.

“Ketika itu tiga anggota polis bersama saya ke kediaman keluarga adik terbabit pada 6.30 petang dan didapati terdapat kesan luka baru dan lama di tubuhnya,” katanya.

Katanya, kanak-kanak terbabit kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN