KUANTAN: Polis Pahang melupuskan pelbagai jenis dadah termasuk air dan daun ketum dianggarkan bernilai RM535,009.15 yang dirampas dalam tempoh 13 tahun dari 2011 sehingga kini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, ia dilupuskan setelah mendapat perintah mahkamah berikutan prosiding yang sudah selesai dan tempoh rayuan bagi hukuman dikenakan kepada pesalah kes terbabit berakhir.
“Antara jenis dadah dilupuskan, heroin seberat 8,465.45 gram, methamphetamine (22,041.39 gram), kanabis (1,464.98 gram), ketamin (237.92 gram), nimetazepam (60.61 gram), yaba (149.19 gram) dan ekstasi 56.05 gram.
“Turut dilupuskan 4,840.85 liter air ketum, daun ketum seberat 70,016.71 gram, kodein 310.69 liter dan pil psikotropik 0.1 gram.
“Terdapat juga lain-lain jenis dadah yang dilupuskan seperti mannitol, methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan erizolam masing-masing 190.17 dan 127.57 gram,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Yahaya berkata, jumlah keseluruhan barangan dilupuskan berkenaan adalah 3,095 item yang diperoleh daripada rampasan di seluruh daerah di negeri ini.
Menurutnya, pelupusan akan dilaksanakan pada esok oleh kontraktor bertauliah dan profesional iaitu Syarikat Kualiti Alam Sdn. Bhd. di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pegawai kanan polis, pegawai rendah polis serta pegawai awam Jabatan Siasatan Jenaah Narkotik Kontinjen Pahang kerana telah berjaya menganjurkan majlis ini.
“Harapan saya semoga kita dapat sama-sama mengembeling tenaga dan kepakaran dalam menangani masalah dadah ke arah Malaysia yang selamat dan bebas dadah agar anak-anak kita dapat membesar serta menjadi generasi yang berdaya saing dan berjaya pada masa akan datang,” ujarnya. – UTUSAN