Polis Arau tingkat rondaan di kawasan terjejas banjir - Utusan Malaysia

Polis Arau tingkat rondaan di kawasan terjejas banjir

AHMAD Mohsin Md Rodi meninjau kawasan kediaman yang dilanda banjir di Kampung Kubang Gajah, Perlis hari ini.-UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Polis daerah ini meningkatkan rondaan di premis kediaman kosong yang ditinggalkan mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, rondaan itu akan diadakan bagi mengekang kecurian berikutan mangsa banjir tiada di rumah.

“Rondaan biasanya dilakukan oleh unit kereta perondan dan Unit Rondaan Bermotosikal, namun dalam situasi banjir ini, kita mewujudkan rondaan balai di kawasan terjejas secara berkala.

“Pihak polis akan mendapatkan data alamat dan lokais kediaman mangsa banjir yang tinggal di PPS bagi memudahkan penugasan dilakukan,” katanya ketika ditemui di PPS SK Kubang Gajah di sini hari ini.

Untuk rekod, terdapat tiga buah PPS di daerah polis Arau yang menempatkan seramai 117 mangsa banjir.

Tambah Ahmad Mohsin, pihaknya menasihat orang ramai yang terkesan dengan bencana banjir agar tidak meninggalkan barangan berharga di rumah bagi mengurangkan risiko kecurian.

“Buat masa ini, belum ada lagi laporan mengenai kecurian atau kes pecah rumah berlaku di kawasan terjejas banjir.

“Saya memberi peringatan kepada mana-mana individu agar tidak mencuba sebarang salah laku jenayah kerana pihak polis sentiasa memantau pergerakan di kawasan ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN