KLUANG: Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan tentang draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang dalam masa terdekat.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbincangan tentang perkara tersebut dilakukan dalam beberapa peringkat dengan terakhir melibatkan semua Ahli Parlimen PN.
“Satu pengumuman yang agak penting akan dibuat dalam tempoh beberapa hari akan datang kerana mesyuarat itu akan memutuskan antara lain cadangan MoU yang dikemukakan itu agak luar biasa, agak begitu menyulitkan bukan sahaja satu yang dilihat mahu benar-benar bantu wakil rakyat.
“Kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas perkara itu dibincang dengan Ahli Parlimen yang nyata tidak puas hati,” katanya ditemui selepas mengiringi calon PN, Mohamad Haizan Jaafar mengemukakan borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini hari ini.
Kelmarin, sumber melaporkan Ahli Parlimen PN dikatakan sebulat suara menolak dokumen disediakan Kerajaan Perpaduan kerana tidak berpuas hati atas ‘kecacatan’ kandungan dan beberapa syarat perlu dipatuhi.
Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd. Nor mengesahkan ada perbincangan wakil rakyat PN Isnin lalu, namun enggan mendedahkan keputusan komponen itu sebelum pengumuman rasmi dibuat pucuk pimpinan. – UTUSAN