PN dakwa draf MoU wujud elemen bertentangan nilai agama, moral - Utusan Malaysia

PN dakwa draf MoU wujud elemen bertentangan nilai agama, moral

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mendakwa memorandum persefahaman (MoU) peruntukan ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) membawa masuk elemen bertentangan dengan nilai hidup masyarakat Asia yang kuat berpegang dengan nilai moral dan agama.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, MoU itu misalnya menghalang ahli-ahli Parlimen PN membuat kenyataan yang mendiskriminasi mana-mana pihak sama ada atas dasar agama, kaum atau apa-apa faktor identiti yang lain.

“Identiti lain ini termasuklah kumpulan LGBT. Adakah ini bermakna sekiranya ahli-ahli Parlimen PN bersetuju dengan draf MoU ini, maka mereka tidak boleh menentang sebarang dasar atau undang-undang yang mungkin akan digubal oleh Kerajaan PH-BN untuk membenarkan perlakuan LGBT pada masa hadapan?,” soal beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua ahli Parlimen PN sebulat suara menolak MoU kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Kata beliau, pihaknya menolak MoU atas empat faktor antaranya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, moral dan agama.

Menurut Muhyiddin, malah MoU itu mempunyai niat tersirat untuk mengekang kebebasan ahli-ahli Parlimen untuk menyuarakan hasrat pengundi yang memilih mereka ke Dewan Rakyat.

“Tidak pernah dalam sejarah negara Malaysia sejak merdeka, kerajaan menetapkan perkara-perkara yang boleh dituturkan dan tidak boleh dituturkan oleh ahli-ahli Parlimen di luar ketetapan yang terkandung di dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan.

“Misalnya MoU ini mengandungi satu bab khusus mengenai isu bangsa, agama dan Raja-Raja di mana ahli-ahli Parlimen PN dilarang untuk bersuara mengenainya. Menyentuh isu-isu ini dianggap sebagai menyebarkan kebencian.

“Ini tidak betul. Negara ini dibina di atas persefahaman antara kaum atau Kontrak Sosial yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai peruntukan-peruntukan khusus mengenai hak-hak kaum, agama Islam dan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Muhyiddin juga mendakwa MoU dan kerajaan PH-BN cuba menghalang ahli-ahli Parlimen PN daripada memperjuangkan perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi suara mereka di Dewan Rakyat.

“Bagi saya MOU ini adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan nilai murni yang menjadi pegangan rakyat Malaysia. Ia mesti ditolak bukan sahaja oleh PN malah seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara dan memahami maksud sebenar perpaduan dan keharmonian dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama.

“Bagi saya, peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak perlu dibuat menerusi apa-apa perjanjian atau MoU. Ini adalah janji PH dalam manifesto PRU-15 dan Perdana Menteri sekarang adalah daripada parti PH,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN